Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

216) LESEN KONTRAKTOR KERJA KELAS F

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Atas prinsip keadilan dan keterbukaan, adakah Kerajaan Negeri masih lagi mengutamakan Kontraktor Kelas F dalam melantik pembekal untuk projek di bawah RM200,000?

    Sebagai makluman, Kerajaan Negeri pada asasnya tertakluk kepada dasar dan tatacara kewangan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam menguruskan penggunaan Wang Negeri selaras dengan ketetapan di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 8 yang berbunyi seperti berikut:-

    Arahan Perbendaharaan (AP) 8

    “Perlembagaan memperuntukkan bahawa tertakluk hanya kepada perundingan dengan Majlis Kewangan Negara, kuasa penuh bagi mengadakan dan mengatur tatacara kewangan dan perakaunan berkenaan dengan wang dan Aset Persekutuan dan Negeri adalah terletak pada Persekutuan dan tidak pada Negeri”.

    Selanjutnya, di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 184.1 berkaitan Pendaftaran Kontraktor Kerja, semua Kementerian/Jabatan dikehendaki hanya mempelawa kontraktor kerja yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dalam gred dan kategori yang berkaitan untuk mengambil bahagian dalam urusan perolehan kerajaan. Berdasarkan kepada peraturan tersebut, apa-apa perolehan kerja kategori Bangunan/Awam/Mekanikal dengan nilai RM 200 ribu dan ke bawah hendaklah dipelawa kepada kontraktor yang berdaftar dengan CIDB dalam Gred G1 sahaja. Manakala, bagi skop kerja elektrik dengan nilai yang sama boleh dipelawa kepada kontraktor yang berdaftar dengan CIDB dalam Gred G1 sehingga G7.

    Kerajaan Negeri ingin menekankan bahawa dasar perolehan yang dikuatkuasakan pada ketika ini adalah berpandukan dasar perolehan secara terbuka yang mengutamakan proses sebut harga dan tender. Menerusi kaedah ini, semua pihak yang berkelayakan boleh mengemukakan tawaran masing-masing yang selanjutnya akan dinilai secara adil dan saksama mengikut peraturan dan tatacara kewangan semasa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.