Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

37) LOJI RAWATAN AIR LABOHAN DAGANG DAN SEMENYIH-2

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status terkini kedua-dua LRA tersebut.

    • Kerajaan Negeri Selangor sebagai Kerajaan yang bertanggung jawab dan Peduli Rakyat, telah meluluskan pembangunan LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang dengan kos sebanyak RM800 juta bagi memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa mencukupi. Kos RM800 juta tadi adalah meliputi pembangunan loji rawatan, pengambilan tanah, pemasangan rangkaian paip air dan pembinaan kolam utama.
    • Pembangunan 2 loji baru ini adalah selaras dengan polisi Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan air di hiliran sebagai sumber air terawat seperti mana yang telah dilaksanakan di ORS Sungai Labu dan HORAS.
    • Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.
    • Selain dari itu, pembangunan kolam takungan sebagai sumber air terawat untuk menakung air larian di hiliran sungai memberi kebaikan antaranya:-
    • Mengurangkan penggantungan sepenuhnya kepada pelepasan air dari empangan;
    • Mengelakkan pembaziran air yang dianugerahkan oleh Allah melalui hujan dengan pengurusan sumber air yang lestari;
    • Mengelakkan risiko banjir di penempatan kawasan hiliran sungai;
    • pembekalan air mentah berterusan walaupun berlaku pencemaran sungai; dan
    • menjadikan kawasan rekreasi dan tarikan pelancong seperti di Marina Baraj, Singapura.
    • Pembangunan Semenyih 2 melibatkan kerja-kerja pembinaan loji rawatan air yang baru dengan kapasiti 100 JLH yang melibatkan skop pembaikan kolam sebagai punca utama bekalan air mentah, fasiliti muka sauk, loji rawatan air, fasiliti rumah pam air bersih, pemasangan paip air bersih dan pembinaan fasiliti rumah pam penggalak. Inisiatif ini melibatkan kerja struktur, sivil, mekanikal, elektrikal dan instrumentasi lengkap dengan ujian dan pentauliahan.
    • Kaedah perolehan tender yang diguna pakai bagi pelantikan kontraktor Pembangunan Semenyih 2 adalah secara Reka dan Bina. Perolehan secara tender terbuka yang dibuat melalui proses pra-kelayakan telah dibuat bagi memastikan hanya kontraktor yang berkelayakan dan berkeupayaan sahaja dipelawa menyertai tender.
    • Kerja-kerja tapak bagi Pembangunan Semenyih 2 telah bermula semenjak 20 Mei 2016 dan projek ini dijadualkan siap pada 19 Disember 2017. Kerja-kerja pembinaan ditapak pada ketika ini telah mencapai 25%
    • Objektif utama projek Pembangunan Semenyih 2 adalah untuk membekalkan tambahan air bersih bagi menangani kawasan-kawasan yang menghadapi masalah gangguan bekalan air di daerah Hulu Langat disebabkan lokasi kawasan yang terletak di penghujung sistem bekalan air sedia ada seperti kawasan sekitar Pekan Semenyih dan Beranang.
    • Kaedah perolehan tender yang diguna pakai bagi pelantikan kontraktor Pembangunan Labohan Dagang adalah secara konvensional mengguna pakai Senarai Kuantiti (Bill of Quantity). Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang akan dibina di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dengan kapasiti sebanyak 200 JLH.
    1. Dalam melaksanakan projek ini, ia telah disusun kepada lima (5) pakej seperti DI Lampiran 1

    Kerja-kerja di tapak telah bermula semenjak 14 September 2016 melibatkan pembersihan tapak dan kerja-kerja pembinaan dijangka mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.