Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

119) LOJI RAWATAN AIR LANGAT 2 (LRA LANGAT 2)

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pembinaan LRA Langat 2?

    Projek Langat 2 ini dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang dahulunya Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

    Mengikut perancangan, apabila loji Langat 2 ini siap sepenuhnya (Fasa 1 dan Fasa 2), ia boleh membekalkan air terawat sebanyak 2,260 JLH. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan adalah hanya untuk Loji Langat 2 Fasa 1 yang dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2022 dengan pengeluaran air terawat berkapasiti 1,130 JLH. Walau bagaimanapun, Loji Langat 2 ini dijadualkan akan membekalkan air terawat secara berperingkat-peringkat bermula pada akhir tahun 2018.

    Daripada kapasiti 1,130 JLH air terawat yang akan dikeluarkan oleh LRA Langat 2, sebanyak 843 JLH akan dibekalkan ke kawasan Koridor Barat meliputi kawasan Kuala Lumpur Selatan, Puchong, Cheras dan Bandar Kinrara. Manakala bakinya sebanyak 287 JLH akan dibekalkan ke kawasan Koridor Utara yang meliputi Kawasan Ampang, Kuala Lumpur Timur dan Kuala Lumpur Utara.

    Berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), secara keseluruhannya kemajuan fizikal di tapak setakat bulan Ogos 2018 adalah 61% berbanding yang dijadualkan sebanyak 77%

    Bagi pembinaan loji, kerja-kerja pembinaan telah mencapai 95% berbanding jadual 100%. Dalam melaksanakan pembinaan loji, ia telah pecahkan kepada dua  stream¸ Stream A dan Stream B. Setiap stream dipecahkan kepada Seksyen 1 dan Seksyen 2. Stream A dengan kapasiti 565 JLH telah siap dan sedia untuk menjalani kerja-kerja pengujian dan pentauliahan (Testing & Commissioning (T&C) pada bulan November 2018. Setelah T & C ini tamat, Stream A ini akan bermula menyalurkan air terawat kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) untuk dibekalkan kepada pengguna. Walaupun Stream A ini mempunyai kapasiti 565 JLH, jumlah air yang akan dibekalkan oleh Air Selangor kepada pengguna adalah sebanyak 325 JLH kerana terdapat kekangan di dalam paip agihan. Air bersih sebanyak 325 JLH air ini akan di bekalkan ke kawasan KL Selatan dan Pusat Bandar KL.

Lampiran

Tiada Lampiran.