Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

167) LRA SEMENYIH 2, LANGAT 2 DAN LABOHAN DAGANG

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini perlaksanaan projek loji rawatan air tersebut?

    Jawapan a) dan b) bersekali

    Status terkini projak LRA Semneyih 2, Langat 2 dan Labohan Dagang untuk menampung peningkatan penggunaan air di Selangor adalah seperti berikut:

    i. LRA SEMENYIH 2

    LRA Semenyih 2 yang mula beroperasi pada 1 Mac 2018 telah membekalkan air sebanyak 100 Juta Liter Sehari (JLH) dan diagihkan kepada Wilayah Hulu Langat melalui Kolam Air Terminal Bandar Baru Bangi.

    ii. LRA LABOHAN DAGANG FASA 1

    LRA Labohan Dagang Fasa 1 yang mula beroperasi pada Disember 2019 telah direkabentuk bagi mengeluarkan air terawat sebanyak 200 JLH. Walaubagaimanapun, pada masa ini, pengeluaran sebenar LRA Labohan Dagang Fasa 1 adalah sebanyak 56 JLH dan diagihkan ke Wilayah Kuala Langat. Ini adalah kerana sistem paip agihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di dalam peringkat pembinaan dan dijangka akan siap pada akhir tahun 2021.

    Kerajaan Negeri Selangor mempunyai perancangan bagi membina LRA Labohan Dagang Fasa 2 yang berupaya bagi membekalkan air terawat tambahan sebanyak 200 JLH dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026.

    iii. LRA LANGAT 2 FASA 1

    Projek pembinaan LRA Langat 2 Fasa 1 dan Sistem Agihan adalah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF). Kapasiti rekabentuk bagi LRA Langat 2 Fasa 1 adalah sebanyak 1,130 JLH. Pembinaan LRA Langat 2 Fasa 1 telah pun siap pada 21 Disember 2019. Walau bagaimanapun, sistem paip agihan bagi LRA Langat 2 ini masih lagi didalam peringkat pembinaan. Terdapat 2 laluan koridor bagi sistem paip agihan Langat 2 dan jangkaan kedua-dua koridor siap sepenuhnya adalah seperti berikut:

    i. Koridor Barat – Disember 2022
    ii. Koridor Utara – Disember 2023

    Pihak Air Selangor telah mengambilalih pengoperasian LRA Langat 2 bermula pada 21 Disember 2019 dan mula mengagihkan air terawat sebanyak 325 JLH kepada pengguna melalui sistem agihan sediada.

    Air Selangor telah membuat perancangan bagi meningkatkan pengeluaran air terawat dari LRA Langat 2 ini secara berperingkat dengan melaksanakan kerja-kerja penyambungan paip di sistem sediada sementara menunggu penyiapan keseluruhan sistem agihan yang baru.

    Perancangan bagi peningkatan pengeluaran secara berperingkat adalah seperti berikut:

    Peringkat 1: 325 JLH ( Dis 2019 )
    Bekalan air terawat sebanyak 325 JLH telah mula diagihkan kepada pengguna pada bulan Disember 2019 melibatkan sebahagian kawasan Kuala Lumpur dan Gombak. Rezab Margin keseluruhan telah meningkat dari 3.08% kepada 10.97%.

    Peringkat 2: Peningkatan Pengeluaran dari 325 JLH 430 JLH (Mei 2020)
    Pertambahan sebanyak 105 JLH daripada Peringkat 1 telah diagihkan kepada pengguna di kawasan Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Petaling. Rezab Margin keseluruhan telah meningkat meningkat dari 10.26% kepada 11.3%.

    Peringkat 3: Peningkatan dari 430 JLH kepada 500 JLH (Nov 2020)
    Pertambahan sebanyak 70 JLH lagi dijadualkan akan dilaksanakan pada bulan November 2020. Bekalan air akan diagihkan kepada pengguna di kawasan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat dan Petaling . Rezab Margin keseluruhan dianggarkan akan meningkat dari 10.32% kepada 11.4%.

Lampiran

Tiada Lampiran.