MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN MANUSIA NEGERI SELANGOR (MAPMAS)

29) MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN MANUSIA NEGERI SELANGOR (MAPMAS)

Tahun:

Sesi:

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah keberkesanan kempen anti-pemerdagangan manusia dan sejauh manakah penguatkuasaan dan perlindungan yang boleh dilakukan oleh MAPMAS?

    Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) telah dilancarkan penubuhannya oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor pada 10 Januari 2011. Fokus utama MAPMAS ialah dalam usaha-usaha pemberdayaan komuniti dan program-program kesedaran, perlindungan mangsa dan pendakwaan.  Sepanjang tahun 2011 dan suku pertama 2012, MAPMAS telah membina hubungan dengan kesemua dua belas pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor, dua pejabat daerah, dua puluh entiti dalam sektor industri dan perkilangan, agensi & jabatan kerajaan Selangor, khususnya pihak penguatkuasa yang disebut oleh Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (dengan pindaan 2010) – PDRM, Jabatan Tenaga Kerja dan Imigresen – badan-badan bukan kerajaan, dan kedutaan-kedutaan asing.   Hubungan itu telah mewujudkan satu rangkaian usaha yang asas ke arah membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor.   Rangkaian hubungan itu telah meletakkan mekanisme asas yang penting untuk mengendalikan kes-kes pemerdagangan manusia di negeri Selangor.

    Di peringkat PBT, Jawatankuasa Teknikal Anti-Pemerdagangan Manusia ditubuhkan bagi melaksanakan program-program kesedaran kepada rakyat, di samping meningkatkan etika dan keberkesanan mengenal pasti elemen-elemen pemerdagangan dalam operasi-operasi PBT dan dalam proses pembaharuan dan pemberian lesen-lesen perniagaan.  Kebanyakan kes-kes kendalian MAPMAS melibatkan pemerdagangan tenaga kerja. Sehingga kini, kes-kes yang telah dan sedang dikendalikan oleh aktivis MAPMAS dengan kerjasama NGO lain ialah sebanyak 80 kes yang melibatkan 513 mangsa – sebahagian besar masalahnya berpunca dari agensi tenaga kerja (outsorcing agencies).   Dalam pemerdagangan seks, aduan kepada MAPMAS oleh seorang mangsa pemerdagangan seks dari sebuah negara  Afrika telah berjaya menyelamatkan seramai 21 wanita warga asing dari negara tersebut. Namun, tiada penjenayah diberkas.   Mangsa wanita-wanita Uganda itu telah dibawa ke Pusat Perlindungan MAPO (Majlis Antipemerdagangan Orang di peringkat nasional) dan kemudian dihantar pulang.   Ada ramai lagi mangsa-mangsa yang serupa yang masih belum diselamatkan.  Ketika ini, aktivis MAPMAS sedang membantu dalam perbicaraan kes pemerdagangan manusia yang melibatkan lima mangsa – kes sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya.  Tiga puluh dua mangsa pemerdagangan tenaga kerja Bangladesh telah  dibebaskan dari pusat perlindungan di Melaka dengan mendapatkan permit kerja di bawah proses 6P. Itu adalah kes pertama seumpamanya di mana mangsa boleh bebas sementara menunggu perbicaraan kes mereka bermula.   Warga Bangladesh tersebut telah berada di pusat perlindungan tersebut selama 18 bulan.  Dari perspektif perlindungan mangsa dan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang, MAPMAS tiada kuasa kecuali bekerjasama rapat dengan pihak-pihak yang telah diberi kuasa di bawah Akta tersebut, iaitu antaranya PDRM, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor.   Pihak-pihak berkuasa di negeri Selangor tersebut adalah jabatan-jabatan kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan di bawah penyeliaan Kementerian-kementerian yang relevan yang menjadi anggota MAPO.   Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa (jurisdiction) ke atas jabatan-jabatan tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.