Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

263) MAJLIS SUKAN NEGERI (MSN)

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila huraikan apakah perkembangan terkini MSN?

    1. a) dan b)

     

    Pada tahun 2016 ini, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor sedang membuat persediaan kontinjen sempena temasya Sukan Malaysia kali ke-18 di negeri Sarawak yang akan bermula pada 21 Julai – 30 Julai 2016. Sebanyak 24 acara sukan yang dipertandingkan dan kontinjen negeri Selangor akan menyertai kesemua acara ini.

     

    Pihak Majlis telah merancang persediaan pasukan ini yang terdiri daripada empat (4) fasa persediaan yang melibatkan program latihan yang telah bermula seawal bulan September 2014 lagi bagi sesetengah sukan. Fasa-fasa persediaan ini adalah seperti berikut:

     

    Fasa I – September 2014 – Disember 2014 Fasa II – Januari 2015 – Julai 2015

    Fasa III – Ogos 2015 – Januari 2016 Fasa IV – Februari 2016 – SUKMA 2016

     

    Tahun 2016 adalah merupakan fasa terakhir kontinjen dalam program persediaan. Pada fasa ini juga pasukan-pasukan banyak didedahkan dengan kejohanan-kejohanan yang sesuai bagi memastikan setiap pasukan bersedia dari semua aspek sains sukan iaitu aspek fizikal, teknikal, psikologikal dan taktikal.

     

    Selain daripada itu juga, program pihak Majlis tidaklah tertumpu hanya kepada persiapan SUKMA sahaja, malah pihak Majlis juga bertanggungjawab untuk memastikan aktiviti dan program selain SUKMA juga berjalan dengan baik.

     

    Pada Januari 2016 yang lepas, pihak Majlis telah mengadakan satu  konvensyen pembangunan sukan yang dihadiri oleh stakeholder utama iaitu pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Sukan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak Persatuan Sukan Negeri.

     

    Pada tahun ini juga pihak Majlis terlibat dengan membantu beberapa persatuan sukan negeri dalam penganjuran seperti Kejohanan Dunia Ping Pong yang telah berlangsung di Stadium Melawati, Kejohanan Renang Age Group di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Kejohanan Badminton Malaysia Open 2016 Super Siries di Stadium Melawati dan lain-lain acara penganjuran sukan yang melibatkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

     

    Bagi program pembangunan belia, beberapa acara penganjuran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dirancang seperti Selangor Cyber Games, Karnival Gen-S dan lain-lain aktiviti di peringkat PeBt dan DUN.

Lampiran

Tiada Lampiran.