Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

4) MANIFESTO KEDIAMAN MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Melalui manifesto Pakatan PRU13, menjanjikan membina Rumah Mampu Milik dengan keluasan minimum 800 kaki persegi, berharga di bawah RM150,000 seunit. Apakah jaminan Kerajaan Negeri untuk memastikan rumah yang bakal dibina mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah?

    Kerajaan Negeri telah mensasarkan  untuk  membina  sebanyak  35,000  unit  Rumah Mampu Milik yang terdiri daripada harga RM42,000.00 hingga RM250,000.00 dalam tempoh lima (5 tahun) sehingga tahun 2018. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik berkonsepkan pasang siap (Pre-Fabricated – IBS) yang disasarkan untuk dibina oleh sebuah agensi bertaraf autonomi di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta di samping pembinaan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

    Bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki rumah mampu milik ini Kerajaan Negeri telah menetapkan harga jualan rumah tersebut tidak melebihi RM150,000.00 seunit dengan saiz rumah tidak kurang daripada 800 kaki persegi. Penetapan harga rumah ini difikirkan bersesuaian setelah mengambil kira kos binaan yang semakin meningkat serta keluasan 800 kaki persegi merupakan saiz yang sesuai untuk golongan pasangan muda yang baru memulakan kehidupan berumah tangga.

    Kumpulan sasaran untuk rumah mampu milik ini adalah golongan berpendapatan di antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan. Bagi golongan berpendapatan rendah di bawah RM3,000 pula, Rumah Kos Rendah bersaiz 700 kaki persegi disediakan untuk golongan tersebut.

    Untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik tersebut sampai kepada kumpulan sasaran, pembeli yang berminat dan berkelayakan dikehendaki berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui Sistem Pendaftaran Rumah Mampu Milik Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.