Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

185) MANIFESTO PILIHANRAYA KE 13, SKIM MESRA USIA EMAS : MEMBERIKAN WANG HADIAH HARIJADI RM100 BAGI ULANG TAHUN KE 60

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah kerajaan negeri akan memberikan program tersebut?

    Kerajaan negeri Selangor amat menghargai warga emas yang ada di negeri ini yang telah banyak memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk terhadap pembangunan negeri Selangor yang dicintai

    Dengan sebab itu jugalah, maka telah diwujudkan satu program khusus untuk warga emas yang cukup popular yang dikenali sebagai program Skim Mesra Usia Emas atau singkatannya SMUE.

    Kerajaan negeri juga sentiasa melihat ke hadapan bagaimanakah caranya untuk terus menceriakan warga emas yang telahpun berdaftar sebagai ahli kepada skim yang telah diwujudkan ini. Maka diwujudkanlah pula satu program nilai tambah kepada program SMUE tersebut yang dikenali sebagai program JOM Shopping.

    Melalui program JOM Shopping ini, warga emas yang berdaftar dengan skim berkenaan telah dibawa beramai-ramai untuk pergi ber‘shopping’ di pasaraya- pasaraya terpilih bagi berbelanja pada kadar nilai yang telah ditetapkan.

    Kerajaan negeri dengan keprihatinannya terus merencanakan program-program nilai tambah untuk tahun-tahun berikutnya. Maka tercetuslah pula cadangan untuk meraikan sambutan ulang tahun harijadi warga emas yang telah menjadi ahli SMUE. Pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju untuk melaksanakan pemberian hadiah bernilai RM100.00 secara ‘one off’ kepada warga emas yang berkenaan.

    Namun, apabila melihat ke belakang, pengalaman bagaimana cerianya warga emas berinteraksi sesama mereka, berbual dan berseronok semasa berbelanja di pasaraya sewaktu menyertai program JOM Shopping, maka tercetuslah pula cadangan untuk mewujudkan satu program yang mampu mengumpulkan warga emas berkenaan bagi mengulangi dan merasai kembali kegembiraan yang serupa yang pernah mereka alami ketika itu.

    Lalu diperpanjangkanlah cadangan yang dirasakan lebih baik daripada hanya memberikan nilai RM100.00 secara ‘one off’ hadiah hari lahir tersebut. Mengambil kira keseronokan dan keceriaan warga emas, maka kerajaan negeri telah mencadangkan program JOM Shopping bagi tempoh lima (5) tahun berturut-turut.

    Melalui cadangan ini, sejumlah RM500.00 akan diambil daripada nilai manafaat SMUE berjumlah RM2500.00 itu, menjadikan hanya RM2000.00 sahaja yang akan diberikan sebagai sumbangan selepas berlaku kematian kepada ahli.

    Wang RM500.00 ini akan digunakan untuk membawa warga emas berkenaan untuk program JOM Shopping dengan nilai boleh belanja sebanyak RM100.00 untuk sekali dalam setahun bagi keseluruhan lima (5) tahun ia dilaksanakan.

    Bagi pelaksanaannya pula, sebaik sahaja proses mengubahsuai sistem e-Mesra dan e-Manfaat untuk tujuan pemprosesan peserta dan merekodkan penyertaan selesai maka tahap seterusnya ialah proses aliran kerja dan piawaian akan diperkemaskan. Setelah semua ini dapat selesai barulah pelaksanaannya akan diumumkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.