Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

261) MASALAH BANJIR DI SELAYANG BARU

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kampung Selayang Baru terutama berdekatan dengan Sungai Udang?

    Semakan mendapati Sungai Udang adalah dibawah rezab penyelenggaraan pihak Jabatan  Pengairan dan Saliran Gombak (JPS).  Ianya juga melibatkan beberapa anak Sungai Udang di Jalan 11, Jalan 30 dan Jalan 62 yang menjadi faktor utama punca kejadian banjir di Selayang Baru.

    Pada masa kini, pihak JPS sedang menjalankan kerja-kerja menaiktaraf di Jalan 62.  Setelah kerja-kerja menaiktaraf anak Sungai Udang dan lain-lain bagi rezab selenggara JPS, pihak MPS juga sedang merangka dan memohon peruntukan bagi cadangan  lantikan juruukur dan perunding kejuruteraan bagi pengumpulan data, reka bentuk terperinci dan kajian menaiktaraf sistem perparitan di Selayang Baru dan kawasan sekitar.   Dianggarkan kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja tersebut adalah sekitar 2 kilometer radius daripada kawasan banjir si Selayang Baru.  Anggaran kos bagi kerja-kerja pengukuran dan rekabentuk adalah sebanyak  RM 895,000.00.

    Bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Selayang Baru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Anak Sungai Udang Fasa 1 yang bernilai RM1,246,819.00 yang dijangka siap pada 31/7/2019. Bagi penyelesaian jangka panjang, projek ini akan disambung ke fasa seterusnya yang mana permohonan peruntukan sebanyak RM10.0 juta telah dipohon dalam permohonan projek RMK-12. Bagi tujuan itu, JPS sedang mengenalpasti halangan-halangan di tapak seperti masalah utiliti dan pengambilan balik tanah untuk diselesaikan terlebih dahulu.

    Bagi penyelesaian jangka pendek, kerja-kerja penyelenggaraan Anak Sungai Udang seperti kerja pengorekan dan pembersihan akan dilaksanakan oleh pihak JPS. Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran dalaman juga perlu dilaksanakan oleh pihak PBT bagi menampung pertambahan air larian hujan.

Lampiran

Tiada Lampiran.