Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

3) MASALAH BEKALAN AIR BERSIH

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah benar, terdapat khabar angin mengatakan bahawa rakyat di Negeri Selangor bakal menghadapi masalah bekalan air bersih dalam tempoh terdekat ini?

    Isu tidak cukup air ini telah dibangkitkan oleh SYABAS kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor semenjak tahun 2005 lagi. Pada masa ini, kapasiti air dari 33 Loji Rawatan Air adalah sebanyak 4,326 Juta Liter Se Hari. Dari jumlah itu, masih ada Loji yang tidak mengeluarkan air mengikut kapasiti reka bentuk.

    Ada juga Loji yang mampu mengeluarkan air melebihi kapasiti reka bentuk, namun disebabkan tidak ada inter connectivity yang lengkap, maka lebihan air dari Loji tersebut tidak dapat disalurkan ke kawasan permintaan tinggi, contohnya Loji Sungai Selangor Fasa 3 boleh mengeluarkan air sebanyak 800MLD, tetapi jumlah yang diminta oleh SYABAS untuk diagihkan kepada pengguna hanya dianggarkan sebanyak

    600MLD.  Begitu juga Loji Air Rasa boleh mengeluarkan air sebanyak 250MLD tetapi permintaan hanya setakat purata 150MLD sahaja.

    Keperluan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi bekalan air awam adalah 4,037 JLH, pengairan padi adalah 1,973 JLH, pertanian adalah 99 JLH dan penternakan adalah 23 JLH maka berjumlah 6,132 juta liter sehari. 10% bagi keperluan ‘environmental flow’ iaitu 1,700 juta liter sehari. Jumlah keseluruhan keperluan air adalah 7,832 juta liter air sehari.

    Actual Metered Consumption setakat tahun 2011 adalah sebanyak 2,808MLD.  Kadar NRW yang tinggi mempengaruhi permintaan air dan anggaran yang diberikan oleh SYABAS adalah mengambil kira buffer sebanyak 10% dan keadaan ini menyebabkan permintaan air dilihat meningkat secara mendadak.

    Ini bermakna Negeri Selangor masih lagi mempunyai 9,168 juta liter sehari air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan, ini termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir dan bekas lombong yang mana sebahagiannya terus mengalir ke laut.  Manakala bagi sumber air bumi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

    Unjuran purata permintaan bekalan air dikira berdasarkan kepada pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi serta industri dengan mengambil kira zon penampan sebanyak 10% dalam unjuran permintaan dan pengeluaran bekalan air bersih. Purata permintaan bekalan air semasa adalah sebanyak 4,113 JLH, manakala purata penggunaan sebenar mengikut rekod SYABAS adalah seperti berikut:

    TAHUN PURATA (JLH)
    2005 2,296
    2006 2,392
    2007 2,489
    2008 2,575
    2009 2,650
    2010 2,747
    2011 2,808

    Unjuran yang dibuat oleh SYABAS mengambil kira faktor pertumbuhan permintaan pada kadar 6.0% dan buffer sebanyak 10% setahun. Manakala pertumbuhan permintaan sebenar adalah pada kadar 1.5% 2% setahun. Kadar pertumbuhan penggunaan air melalui pembilan adalah sebanyak 4% setahun.

    Untuk tempoh 20 tahun akan datang, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah.

    Berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggunaan per kapita nasional untuk penggunaan domestik bagi Semenanjung Malaysia bagi tahun 2007 dan 2008 adalah 226 liter/orang/hari.

    Kadar penggunaan per kapita nasional sebanyak 226 liter/orang/hari ini adalah jauh lebih tinggi dari Singapura sebanyak 170 liter/orang/hari, dan usaha-usaha boleh dijalankan bagi mengurangkannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.