Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

102) MASALAH DI KAMPUNG HAMID TUAH TELUK GONG

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan memberi tanah-tanah gantian kepada saki-baki 38 pemilik tanah yang mana tanah-tanah mereka telah dicerobohi oleh orang kampung di Kampung Hamid Tuah Teluk Gong sebagai penyelesaian masalah yang berlarutan tersebut.

    Pentadbir Tanah Klang telah mencadangkan supaya tanah yang di ceroboh di Kampung Hamid Tuah diganti dengan tapak di kawasan bekas Hutan Simpan Telok Gedung (Telok Gong). Tanah ini pada asalnya adalah merupakan tanah simpanan hutan yang telah dibatalkan gazet pada tahun 2001 melalui pembatalan Warta No.1733/2001 bagi tujuan penggantian lot-lot tanah berkenaan.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor melalui Kertas MMK No.28/29/2009 bil. (45) dlm.MMK.SEL.(R) 31003/1 Jld.6 bertarikh 10 Mac, 2010 telah menimbang dan meluluskan permohonan pemberimilikan tapak tanah ganti di bekas Hutan Simpan Telok Gedung (Telok Gong) Mukim Klang, Daerah Klang untuk tujuan pertanian kepada 52 orang pemilik tanah yang bersetuju menyerahkan tanah milik mereka di Kampung Hamid Tuah Telok Gong, Daerah Klang seluas lebih kurang 200 ekar.

    Isu yang timbul adalah:-

    1. Keadaan tanah masih dalam keadaan semak dengan tumbuhan pokok kayu bakau yang perlu menyediakan ‘Bufer Zon’ selebar 200 meter dari garisan pantai sebagai perlindungan hakisan dan kawasan ekologi.
    2. Kos bagi penyediaan kerja-kerja ukur mengenai pengagihan tanah yang akan diberi milik kepada tuan tanah yang bersetuju menyerahkan tanah mereka sama ada dibiayai oleh Kerajaan Negeri atau pihak yang lain;

    Pentadbir Tanah Klang telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Perbandaran Klang serta Jabatan Pengairan dan Saliran berhubung dengan kesesuaian tapak gantian berkenaan. Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Klang melalui surat bil(110) J.P.S.Klg 55/81 bertarikh 23 Oktober 2013 telah menyediakan kos pembinaan benteng dan menambak tanah di kawasan tersebut berjumlah RM6,100,000.00.

    Kertas ringkasan akan disediakan untuk pertimbangan MMKN.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.