Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

11) MASALAH EKONOMI GLOBAL

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Dunia kini sedang menghadapi masalah ekonomi global yang agak meruncing, jelaskan tindakan kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ekonomi global ini terutama yang melibatkan golongan berpendapatan rendah

    Masalah ekonomi global yang berlaku sekarang berpunca daripada krisis kewangan Amerika Syarikat yang melibatkan keruntuhan ekonomi, perdagangan, gadai janji subprima perumahan di Amerika Syarikat sejak 2007 dan berlarutan sehingga  tahun 2008. Bursa saham di seluruh dunia menjunam pada September 2008 apabila beberapa syarikat gergasi di Amerika Syarikat terjerumus ke dalam masalah kewangan akibat krisis kredit perumahan. Kerajaan Amerika Syarikat terpaksa menggunakan wang cukai rakyat untuk menyelamatkan beberapa syarikat (bailout) agar tidak menjadi muflis.

    Walaubagaimanapun, Malaysia tidak menerima kesan langsung kerana sejak dahulu Malaysia tidak menerima pakej pinjaman kewangan perumahan dan subprima dari Amerika. Namun kesannya tetap dirasai kerana wujudnya hubungan perdagangan import dan eksport antara kedua-dua negara. Antara kesan yang dirasai termasuklah rakyat terpaksa menanggung beban daripada beberapa segi antaranya, kadar inflasi yang tinggi, kenaikan harga barang, penutupan kilang dan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran.

    Bagi menghadapi masalah tersebut, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha memastikan  kebajikan rakyat  sentiasa terpelihara  khususnya golongan berpendapatan rendah menerusi pelaksanaan pelbagai program dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

    Antara program MES yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1 termasuklah program seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Bantuan Warga Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang .

    Selain itu, terdapat beberapa program MES yang akan dilaksanakan secara berfasa khusus untuk golongan berpendapatan rendah termasuklah Caruman Takaful bagi Orang Kurang Upaya (OKU)/anak yatim, bantuan kepada peniaga muda; bimbingan perniagaan kepada belia, bantuan anak ke nurseri RM75 sebulan/orang, bantuan anak pra sekolah RM50 sebulan/orang, bantuan mendirikan rumah tangga, elaun ibu tunggal, elaun khas suri rumah dan bantuan memiliki kediaman.

    Menerusi program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi krisis ekonomi global.

Lampiran

Tiada Lampiran.