Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

130) MASALAH GANGGUAN AIR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air yang kerap kali berlaku sejak 2018, ramai penduduk Negeri Selangor merungut kerana ia menjejaskan kehidupan harian mereka?

    Gangguan bekalan air dibahagikan kepada dua kategori iaitu gangguan bekalan air berjadual dan tidak berjadual. Bagi gangguan bekalan air berjadual adalah merujuk kepada penutupan bekalan air sementara bagi perlaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan menaiktaraf sistem bekalan air sama ada di peringkat loji atau sistem agihan. Gangguan bekalan air bagi perlaksanaan kerja-kerja penambahbaikan ini perlu dilaksanakan bagi memastikan aset-aset berada dalam keadaan baik dan beroperasi sepenuhnya dan mengelakkan sebarang gangguan tidak berjadual terutama yang melibatkan jumlah akaun pengguna yang besar.

     

    Gangguan bekalan air tidak berjadual pula adalah disebabkan insiden paip pecah, penutupan loji ekoran pencemaran dan sebagainya.

     

    Air Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan gangguan bekalan air terutama yang melibatkan insiden paip pecah termasuk kerja-kerja penggantian paip di kawasan ‘hotspot’, pemasangan ‘Pressure Reducing Valve’ (PRV) bagi mengurangkan tekanan dan mengelakkan paip pecah, pemantauan lembangan sungai dan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila berlaku pencemaran dan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan penutupan loji. Bagi mengurangkan impak semasa berlaku sebarang gangguan bekalan air berskala besar dan pengaktifan ERP, Air Selangor menggerakkan bantuan lori-lori tangki air dan pengaktifan Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi memberikan bantuan kepada pengguna.

     

    Insiden paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air telah menunjukkan penurunan dimana pada tahun 2017, 5,398 kes paip pecah telah menurun kepada 3,871 kes pada tahun 2018 dan seterusnya penurunan kepada 1,955 kes sehingga bulan Ogos 2019 seperti yang tertera pada jadual di bawah.

     

     

     

    (i)    STATISTIK PAIP PECAH MENGIKUT WILAYAH 2017 – 2019*
    No WILAYAH 2017 2018 2019*
    ø <

    1000mm

    ø ≥

    1000mm

    JUMLAH ø <

    1000mm

    ø ≥

    1000mm

    JUMLAH ø <

    1000mm

    ø ≥

    1000mm

    JUMLAH
    1 Petaling 920 2 922 710 1 711 262 1 263
    2 Klang 645 20 665 494 14 508 277 11 288
    3 Gombak 825 2 827 614 2 616 373 0 373
    4 Kuala Lumpur 680 0 680 593 0 593 254 0 254
    5 Hulu Langat 832 0 832 568 1 569 337 1 338
    6 Hulu Selangor 525 1 526 474 0 474 205 1 206
    7 Sepang 267 2 269 92 1 93 47 3 50
    8 Kuala Langat 375 0 375 153 2 155 67 1 68
    9 Kuala Selangor 209 9 218 110 4 114 41 9 50
    10 Sabak Bernam 84 0 84 38 0 38 65 0 65
    JUMLAH 5362 36 5398 3846 25 3871 1928 27 1955

     

     

     

    Empat (4) punca utama yang menyebabkan paip pecah dan gangguan bekalan air sementara adalah seperti berikut :

     


    (ii)  STATISTIK PUNCA PAIP PECAH 2017 – 2019*
    No. PUNCA PAIP PECAH TAHUN
    2017 2018 2019*
    1 Paip yang usang/berusia (Ageing) 3,289 2,269 1,002
    2 Paip yang berkarat (Corrosion) 514 236 413
    3 Tekanan berlebihan dalam paip (Excessive Load) 1,171 807 337
    4 Pembangunan oleh Pihak Ketiga (3rd Party) 424 559 203
    JUMLAH 5,398 3,871 1,955

     

    * Data tahun 2019 adalah dari bulan Januari hingga Ogos.

     

    Bagi mengatasi dan mengurangkan masalah gangguan bekalan air, Air Selangor telah merangka pelan perancangan serta program yang dapat mengurangkan gangguan dan insiden kes paip pecah seperti berikut:

     

    1.0  Pelan Jangka Panjang-“Redundency Pipelines”

    Air Selangor telah merangka pelan jangka panjang ‘redundancy pipeline’ bagi kawasan strategik dan berisiko tinggi yang bertindak sebagai bekalan alternatif sekiranya berlakunya gangguan bekalan air dan meminimakan jumlah kawasan gangguan. Inisiatif ini akan dapat dilaksanakan setelah rezab margin berada pada paras 10% sehingga 15%.

     

    2.0  Pemantauan Lokasi-Lokasi Projek Pembangunan Pihak Ketiga

     

    1. Terdapat 144 lokasi projek pembangunan yang dikenalpasti serta boleh menyumbang kepada gangguan bekalan dan insiden paip pecah disebabkan kerja-kerja pihak ketiga.
    2. Air Selangor akan menubuhkan pasukan khas yang akan membuat pemantauan di tapak secara langsung dan melaporkan sebarang penemuan yang boleh menyebabkan insiden paip pecah bagi mengurangkan insiden kekerapan paip pecah disebabkan kerja-kerja pihak ketiga.

     

     

     

    3.0 Kerjasama daripada Kerajaan Negeri Selangor Bagi Pemantauan Pembangunan Pihak Ketiga

     

    Merujuk kepada mesyuarat MTES Ke 25/2019 bertarikh 28 Ogos 2019, Air Selangor telah mengesyorkan cadangan berikut bagi mengelakkan insiden paip pecah serta gangguan bekalan kepada pengguna yang disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga.

     

    1. Kelulusan permit kerja oleh PBT kepada mana-mana projek pembangunan perlu mendapat sokongan dan maklumbalas daripada Air Selangor yang melibatkan aset-aset perkhidmatan air di rezab jalan-jalan awam, rezab jajaran bekalan air dan berhampiran atau sempadan hak milik Air Selangor.
    2. Menambahkan klausa tambahan ke atas kelulusan permit kerja oleh PBT sekiranya kerja-kerja projek di tapak mengakibatkan paip pecah, pihak PBT berkuasa untuk mengeluarkan arahan pemberhentian kerja (Stop Work Order) untuk satu tempoh yang bersesuaian (sekurang-kurangnya 30 hari).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.