Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

241) Masalah Gangguan Bekalan Air Akibat Sungai Yang Tercemar

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka panjang SYABAS bagi mengatasi masalah gangguan air akibat pencemaran sungai?

    Langkah-langkah kawalan dan usaha pencegahan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam menyelesaikan isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air yang lestari dengan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu ((Integrated River Basin Management, IRBM) adalah berdasarkan Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor seperti berikut:

    i. Kajian semula perundangan Enakmen LUAS 1999 yang melibatkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara supaya tindakan perundangan diambil lebih digeruni oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran. Cadangan Pindaan Enakmen LUAS 1999 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga (Bajet), Persidangan Penggal Ketiga, Keempat Belas Tahun 2020;

    ii. Pengemaskinian dan pemantauan inventori aktiviti guna tanah di rizab sungai dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS). Kajian inventori dan pemetaan guna tanah di 50 meter rizab sungai telah dilaksanakan LUAS dengan menggunakan kaedah aerial surveillance menggunakan drone di Sungai Semenyih termasuk Sungai Rinching dan Sungai Beranang, Sungai Klang dan Sungai Damansara serta Sungai Sembah dan anak-anak sungainya pada tahun 2018. Manakala kajian di Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Buloh dalam peringkat pelaksanaan bermula tahun 2019 dan dijangka siap hujung tahun 2020. Pelaksanaan pemantauan berkala telah dijalankan secara bulanan bagi aktiviti berisiko yang dikenalpasti dalam inventori bagi tujuan kawalan aktiviti di rizab sungai yang merupakan kawasan yang berisiko berhampiran sumber air;

    iii. Pelaksanaan tindakan pemantauan isu pencemaran serta penguatkuasaan secara bersepadu dipantau melalui urus tadbir sedia ada iaitu melalui Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor yang dipengerusikan Pengarah LUAS dan diadakan empat (4) kali/tahun bagi pelaksanaan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan. Jika isu tidak dapat diselesaikan akan diangkat kepada Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, YB Tuan Ir. Izham bin Hashim dan turut diadakan empat(4) kali/tahun. Kedua-dua Jawatankuasa/Pasukan Petugas ini diurusetiakan LUAS;

    Mesyuarat Lembaga Bil. 2/2020 bertarikh 18 Ogos 2020 telah meluluskan Cadangan Trade Off Perjawatan Kontrak (Contract of Service, CoS) Sedia Ada dan Pewujudan Perjawatan Baharu Secara Kontrak (CoS) bagi Menganggotai Skuad Pantas di Lembaga Urus Air Selangor melibatkan pertambahan kakitangan sebanyak 15 orang terdiri seperti berikut:

    • Jurutera J41 (1 Perjawatan);
    • Penolong Jurutera Gred JA29 (5 Perjawatan); dan
    • Pembantu Awam Gred H11 (9 Perjawatan).

     

    Skuad Pantas LUAS akan beroperasi 24 jam sehari  secara shif (3 shif) dengan menjalankan fungsi-fungsi seperti berikut:

    • Melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai di Negeri Selangor bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimakan risiko henti tugas Loji Pembersihan Air;
    • Mengurusetiakan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor dan melaksanakan penyelarasan bersama agensi dan pihak berkepentingan selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor; dan
    • Menyelaras pemantauan dan pensampelan berkala seperti Kajian Kebersihan di lembangan sungai bagi pemantauan status kualiti air dan penyediaan Laporan Pemantauan Lembangan Sungai.

     

    iv. Mengadakan perbincangan dan penyelarasan di antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui dua (2) mesyuarat iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Menangani Pencemaran Sumber Air yang dipengerusikan oleh YB Tuan Ir. Izham bin Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor dan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor  yang dipengerusikan oleh YB Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Negeri Selangor;

    v. Pelaksanaan Ops Sumber Air di mana Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah mula melaksanakan Ops Sumber Air pada bulan Januari 2020 yang lalu sehingga sekarang selaras dengan keputusan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar. Ops Sumber Air ini adalah operasi pemantauan bersepadu 24 jam di lembangan sungai utama dan kawasan sensitif sumber air Negeri Selangor. Ia dilaksanakan bertujuan bagi memastikan insiden pencemaran sumber air terutamanya sungai dapat ditangani segera bagi meminimakan risiko  henti tugas LPA yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna. Operasi secara bersepadu ini diketuai oleh LUAS melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah & Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK). Sehingga kini jumlah kes yang dapat ditangani LUAS dengan tiada henti tugas LPA (Kod Kuning) ialah 10 kes;

    vi. Mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas seperti Kompaun dan pendakwaan di Mahkamah. Berdasarkan rekod sehingga Ogos 2020, 357 Notis dan 12 Kompaun telah dikeluarkan. Cadangan penubuhan pasukan risikan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan mencegah aktiviti mencurigakan masih diperingkat kajian;

    v. Mempergiatkan pemantauan berkala bagi pematuhan syarat kepada premis berlesen oleh LUAS yang tertakluk di bawah Kebenaran Bertulis bagi aktiviti pengubahan sumber dan Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar;

    vi. Pelaksanaan Surat Arahan di bawah seksyen 121(1) dan Perintah Perlindungan Air di bawah seksyen 122(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis pencemar/berisiko bagi kawalan pencemaran di punca dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera. Pihak LUAS juga menyediakan khidmat panel kontraktor pembersihan jika berlaku sebarang kecemasan pencemaran sumber air;

    vii. Menyediakan sistem pemantauan awal ‘early warning system’ dengan pembangunan stesen telemetri kualiti air (15 River Monitoring Station) di kawasan strategik hulu muka sauk dengan kerjasama strategik Pengurusan Air Selangor. Perkongsian dan akses data antara agensi berkaitan melibatkan integrasi data ke Integrated Water Resources Management System (IWRIMS). Terdapat 11 stesen telemetri LUAS pada masa ini dengan satu (1) stesen kualiti air LUAS di hulu muka sauk LPA Bukit Tampoi dan melibatkan enam (6) parameter dipantau selaras Indeks Kualiti Air (IKA);

    viii. Mengkaji dan mengenalpasti peralatan bagi mengesan  pencemaran bau yang bersesuaian dan efektif bagi membantu tindakan penyiasatan punca pencemaran. Disamping itu, cadangan penggunaan dron berteknologi tinggi bagi tujuan pemantauan di kawasan berisiko pencemaran di lembangan sungai secara berkala; dan

    viv. Mempergiat dan memperkasakan program kesedaran awam di kalangan komuniti sungai seperti pelaksanaan Friends of River (FoR) dengan kerjasama agensi PBT,PDT,JPS dan IWK. Pelaksanaan inisiatif FoR di peringkat Negeri Selangor telah dilancarkan di 30 lokasi FoR pada 26 September 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.