Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

16) MASALAH KEBERSIHAN DAN SAMPAH DI KLANG

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Masalah kebersihan dan sampah di Klang masih tidak diselesaikan. Sebaliknya, ianya telah menjadi semakin teruk yang sentiasa dilaporkan dalam suratkhabar. Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa tidak mampu melantik kontraktor yang dapat bekerja mengikut jadual kontrak dan pegawai pemantau MPK juga sentiasa gagal memastikan kontraktor bekerja mengikut jadual, seolah-olahnya tidak wujud. Kerajaan Negeri sentiasa dalam keadaan penafian tentang isu pembersihan. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah serius ini?

    Soalan ini telah pernah dibangkitkan pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Selangor ke-13 yang lalu. Majlis Perbandaran Klang telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah kebersihan dan sampah di Daerah Klang seperti berikut:-

    • Majlis telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi pembersihan Daerah Klang. Majlis melaksanakan operasi pengintipan pembuangan sampah haram dan pemantauan di sekitar Klang setiap hari (24 jam). Sebanyak 17 buah kenderaan (13 Mei 2015 hingga 9 Ogos 2015) telah disita dalam operasi tersebut;
    • Pihak Majlis telah membuat penyusunan semula (rezoning) 60 kawasan perkhidmatan pembersihan dengan menjadi kecil dan kerja pemantauan pembersihan akan mudah dijalankan;
    • Majlis mengambil tindakan yang lebih tegas kepada kontraktor yang gagal menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan sempurna. Sehingga 31 Julai 2015 sebanyak 13 kontraktor pembersihan awam telah ditamatkan, 2 kontraktor kutipan sampah telah ditamatkan dan 1 kontraktor bangunan strata telah ditamatkan;
    • Memberi peruntukan kempen kebersihan setiap DUN sebanyak RM10,000.00 sebulan. Kempen ini telah dilaksanakan bermula pada bulan Disember 12 hingga bulan Februari 2015 (selama 3 bulan);
    • Majlis melantik kontraktor Hebat Abadi Sdn Bhd bagi menggantikan kontraktor kutipan sampah sedia ada yang telah tamat tempoh. Pelantikan kontraktor ini bermula pada bulan Julai 2015 sehingga kini dan telah membuat kutipan sampah di empat (4) kawasan iaitu:-
    1. Jalan Hulubalang dan Jalan Laksamana, Taman Sentosa;
    2. Kawasan Bukit Tinggi 1;
    3. Kawasan Kg Kuantan dan Bukit Kuda (kawasan kampung); dan
    4. Kg Raja Uda dan Taman Bayu Perdana.
    • Majlis melakukan penambahbaikan dengan penyusunan semula 27 orang pemantau mengikut kawasan masing-masing di mana setiap pemantau bertanggungjawab memantau kerja-kerja kontraktor menjalankan tugasan dengan sempurna.
    • Majlis sentiasa memupuk kesedaran tentang nilai kebersihan dan menanam perasaan tanggungjawab awam di kalangan semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan di Daerah Klang. Contohnya mengadakan gotong-royong bersama persatuan penduduk.

Lampiran

Tiada Lampiran.