Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

76) MASALAH KEKURANGAN AIR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Warno Bin Dogol

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah kekurangan air khususnya sewaktu musim menanam bagi pesawah di Sungai Besar

    JAWAPAN JABATAN PERTANIAN

     

    Dalam Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor dari 5.1 tan/ha kepada 7.5 tan/ha, pengurusan sumber air adalah diberikan tumpuan yang khusus.Semua bentuk pengurusan yang cekap dirancang dan dilaksanakan melalui J/K Kerja diperingkat kawasan. J/K tersebut dianggotai oleh Jabatan Pertanian, JPS,PPK, Ketua Kampung, Ketua Blok dan juga Ketua Badan Pengurusan Berpusat. Antara aspek yang diberikan penumpuan khas adalah pengawalan air bersepadu di sawah dan juga peningkatan kemahiran pengurusan air.

     

    a&b)    JAWAPAN DARIPADA JPS 

     Masalah kekurangan air biasanya berpunca daripada dua faktor iaitu faktor yang pertama ialah daripada punca air Sg. Bernam, yang mana apabila tiba musim kemarau, kuantiti air yang masuk ke terusan utama tidak mencukupi untuk membekalkan air hingga ke terusan tersier.  Faktor kedua pula ialah kecekapan sistem di mana berlaku resapan dan kehilangan air di beberapa kawasan di sepanjang terusan utama hingga ke tersier.

    Bagi tempoh jangka pendek, masalah kekurangan air ini akan ditangani melalui empat strategi.  Strategi pertama ialah program kitar semula air sawah.  Paras air di dalam parit pembuang akan dikawal supaya ia dapat membantu petani mengepam semula air ke dalam petak sawah mereka bagi mendapatkan bekalan air yang mencukupi.  Cara ini telah dapat mengurangkan masalah kepada petani terutama kepada petani yang berada di hujung taliair.  Projek ini sedang di dalam peringkat pelaksanaan yang mana tender telah dipanggil pada bulan November 2008 dan dijangka siap pada bulan Oktober 2009.

    Strategi kedua pula ialah melebarkan dan mendalamkan terusan utama dengan mengorek mendapan di dalam terusan tersebut.  Dengan cara ini, jumlah kapasiti di dalam terusan dapat ditingkatkan dan bekalan air ini dapat menampung keperluan air hingga ke peringkat terusan tersier.  Kerja-kerja

    pengorekan mendapan di terusan utama ini dijangka akan dipanggil tender pada bulan Jun 2009

    Strategi ketiga pula ialah dengan menjalankan kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara palong-palong yang rosak, bocor, senget dan sebagainya supaya kadar resapan dan kehilangan air dapat diminimakan.  Biasanya kerja-kerja baikpulih ini akan dilaksanakan semasa luar waktu musim pengairan iaitu di dalam bulan Mei hingga Jun dan November hingga Disember.

    Strategi keempat pula ialah dengan membaiki dan menaiktaraf ban-ban disepanjang terusan utama yang mana ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan kapasiti air di dalam terusan utama.  Projek ini akan dipanggil tender pada bulan April 2009.

     

    Manakala bagi tempoh jangka panjang pula, masalah ini akan ditangani dengan empat strategi juga iaitu strategi pertama ialah pembinaan kolam takungan di kawasan Hutan Simpan Paya Bakau Tanjong Karang seluas 5000 ha dengan ketinggian 2 meter.  Kolam ini dijangka dapat menampung sejumlah 100 juta meter padu air dan dapat membantu membekalkan air terutama ketika musim kemarau dan punca air dari Sg. Bernam tidak mencukupi.  Buat masa ini, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menjalankan kajian kemungkinan bagi pelaksanaan projek ini.

    Strategi kedua pula ialah telaga air bumi iaitu di mana sebelum telaga ini digali,  satu ujian resistiviti bagi menentukan lokasi air di bawah permukaan bumi dijalankan.  Kemudian satu telaga yang mempunyai kedalaman maksima sehingga 100 meter dengan diameter paipnya adalah 8 inci akan dibina untuk mengepam keluar air bumi tersebut.  Cara ini dapat membantu mengatasi masalah kekurangan air permukaan.  Projek ini dijangka akan dimohon dalam program tahun 2010.

    Strategi ketiga ialah dengan membina struktur kawalan tambahan yang mana lokasi-lokasi yang dipilih mempunyai impak yang besar apabila projek ini siap dibina.  Dengan cara ini, petani-petani di setiap blok akan mematuhi jadual pengagihan air seperti yang telah ditetapkan dan sekaligus mengurangkan masalah kekurangan air.  Salah satu projek ini telah hampir siap pembinaannya iaitu di kawasan Parit 9 dan dijangka siap pada bulan Mac

    2009 ini.

    Strategi keempat pula ialah menggantikan palong-palong yang lama dan uzur yang mana palong-palong ini telah berusia hampir 30 tahun.  Palong ini akan digantikan dengan palong yang berbentuk segiempat dan mempunyai rekabentuk yang cukup bagi menampung keperluan air mengikut kaedah penanaman terkini.  Projek ini dibuat secara berperingkat-peringkat dan ada juga di setengah-setengah tempat telah pun siap pembinaannya.  Projek ini dijangka akan siap dan lengkap dalam tempoh dua tahun di bawah Program Dasar Jaminan Bekalan Makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.