Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

114) MASALAH KEKURANGAN RUMAH

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah langkah drastik yang bakal diambil oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani masalah kekurangan rumah khususnya kos rendah dan sederhana di Dun Sekinchan

    Masalah kekurangan rumah kos rendah dan sederhana di DUN Sekinchan sentiasa menjadi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri seboleh mungkin akan memastikan pembinaan rumah mampu milik khususnya rumah kos rendah dan kos sederhana terus dibina untuk memenuhi keperluan warga berpendapatan rendah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah kepada semua.

    Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik permohonan rumah kos rendah di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mendapati permintaan terhadap rumah kos rendah di DUN Sekinchan yang terletak di bawah Mukim Pasir Panjang, Daerah Sabak Bernam adalah rendah. Sehingga kini hanya terdapat 93 orang pemohon sahaja yang berdaftar untuk memiliki rumah di Mukim Pasir Panjang. Permintaan yang rendah terhadap rumah kos rendah ini, dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan pemaju kurang berminat untuk mendirikan rumah mampu milik di kawasankawasan luar bandar khususnya di DUN Sekinchan. Selain itu, kos pembinaan yang semakin meningkat dan faktor kegawatan ekonomi yang melanda dunia ketika ini juga mempengaruhi pembinaan rumah-rumah mampu milik. Ini kerana rumah mampu milik merupakan rumah yang dikawal dari segi harga iaitu RM35,000.00 seunit dalam kawasan Majlis Daerah Sabak Bernam dan RM30,000.00 seunit di kawasan luar pentadbiran Majlis berbanding dengan harga jualan di kawasan bandar khususnya di Lembah Klang iaitu RM42,000.00 seunit. Penetapan harga yang rendah ini juga, dikatakan punca kepada pemaju kurang berminat untuk membina rumahrumah mampu milik di kawasan luar bandar sedangkan pada pendapat mereka kos binaan bagi kedua-dua lokasi adalah sama sedangkan harga jualan yang dibenarkan adalah lebih rendah. Di samping itu, pemaju yang tidak dapat membina rumah mampu milik jenis ‘landed’ (bertanah) juga merupakan faktor penyebab perkara ini berlaku. Ini kerana pembeli di kawasan luar bandar lebih gemar terhadap rumah mampu milik jenis ‘landed’ daripada jenis bertingkat.

    Di samping itu, berdasarkan rekod yang ada melalui Sistem Pendaftaran Pemaju di LPHS juga mendapati sehingga kini tiada cadangan pembangunan rumah mampu milik seperti kos rendah dan kos sederhana yang didaftar untuk dibangunkan. Apa yang dapat dilihat di kawasan luar bandar seperti di kawasan DUN Sekinchan, kebanyakan pembangunan yang diluluskan merupakan pembangunan yang bersaiz kecil seperti kurang daripada 10 ekar. Oleh yang demikian, adalah sukar untuk Kerajaan Negeri mewajibkan pemaju membina rumah-rumah mampu milik. Walau bagaimanapun sekiranya sesuatu pembangunan yang diluluskan melebihi 10 ekar, Kerajaan Negeri akan mengenakan syarat pembinaan 20% rumah kos rendah, 10% rumah kos sederhana rendah dan 10% rumah kos sederhana. Untuk itu juga, satu kajian akan dijalankan untuk melihat keperluan sebenar permintaan rumah mampu milik ini bukan sahaja di DUN Sekinchan tetapi juga di seluruh Negeri Selangor. Anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti PKNS dan PNSB juga akan digalakkan membina rumah-rumah mampu milik di kawasan tersebut sekiranya masih terdapat tanah yang boleh dibangunkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.