Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

49) MASALAH KELEWATAN PEMBAYARAN INSENTIF PERKAHWINAN BELIA

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kini permohonan Insentif Perkahwinan Belia telah mengambil masa selama 10 bulan untuk diluluskan dan membuat bayaran yang mana adalah terlampau lama. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut dan mempercepatkan prosesnya?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Insentif Perkahwinan Belia di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bertujuan untuk menjadikan program ini selari dengan matlamat Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli. Seterusnya, program ini juga merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan rumah tangga dan keluarga di Negeri Selangor di samping sebagai insentif kepada golongan belia di Negeri Selangor yang baru mendirikan rumah tangga. Sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2013, ianya semakin mendapat perhatian daripada pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga dengan peningkatan jumlah permohonan setiap tahun. Sehubungan itu, pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu sistem bagi memudahkan pemohon untuk membuat permohonan.

    Justeru itu, pemohon hendaklah membuat permohonan melalui sistem online yang disediakan dan mengemukakan permohonan bersekali dengan dokumen yang lengkap seperti salinan Kad Pengenalan, salinan Sijil Nikah ( Beragama Islam) atau Sijil Pendaftaran Perkahwinan (Bukan Beragama Islam), salinan muka hadapan buku simpanan akaun Tabung Haji (pemohon beragama Islam) dan salinan Sijil Berhenti Sekolah rendah dan menengah di dalam Negeri Selangor. Seterusnya, semakan akan dibuat ke atas permohonan-permohonan tersebut melalui sistem online bagi menentukan sama ada permohonan tersebut diluluskan atau ditolak berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan serta dokumen-dokumen lengkap yang dikemukakan bersama borang permohonan untuk proses kelulusan. Walau bagaimanapun, majoriti pemohon lewat mengemukakan dokumen tersebut yang mengakibatkan berlakunya kelewatan kepada proses kelulusan yang mengambil tempoh lebih kurang 2 bulan.

    Seterusnya, jumlah keperluan peruntukan yang diluluskan oleh Pegawai Kewangan Negeri akan dipanjangkan kepada Tabung Haji dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk tujuan penyaluran insentif tersebut. Proses penyaluran di Tabung Haji dan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mengambil masa dalam tempoh sebulan untuk disalurkan kepada pemegang akaun Tabung Haji dan penyediaan Sijil Bank Simpanan Nasional (BSN).

    Walau bagaimanapun,  sekiranya Tabung Haji mendapati dokumen atau akaun pemohon tidak lengkap maka perkara ini akan mengambil tempoh lebih kurang 2 bulan bagi menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya penyaluran insentif kepada akaun pemohon.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah menambahbaik pengurusan sedia ada di mana tempoh enam (6) bulan yang diperlukan untuk kelulusan telah dipercepatkan kepada tiga (3) hingga empat (4) bulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.