Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

224) MASALAH LALAT

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah masalah lalat dan bau yang kurang menyenangkan berpunca dari pengusaha ayam di Parit Mahang akan di atasi sepenuhnya ?

    Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah menerima aduan daripada orang ramai berkenaan masalah lalat dan bau kurang menyenangkan di Parit Mahang. Seterusnya, MDKS telah memanjangkan aduan tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS Selangor) pada 4 Mei 2020.  Dengan serta merta iaitu pada 5 Mei 2020, pihak DVS Selangor melalui Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Selangor (PVD Kuala Selangor) telah menjalankan siasatan di lapangan bagi menangani aduan ini.  DVS Selangor mengenalpasti terdapat empat (4) buah ladang di Parit Mahang iaitu:

    1. ID Mega Management Services Farm 1
    2. ID Mega Services Farm 2
    3. Sha Maju Farm
    4. Ladang Mohd. Fathi bin Mohd. Jais

     

    Semua ladang disiasat dengan teliti menggunakan panduan dan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor 2007) dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008 seperti siasatan Kawalan Lalat dan Larva, Pengendalian Tinja, Pelupusan Bangkai dan Kawalan Pelepasan Habuk.  Paling penting dalam sisatan pada kali ini adalah Scudder Fly Grill Test, Pemeriksaan tinja bagi mengesan kehadiran larva dan Pemeriksaan penggunaan racun lalat dan larva dalam pengurusan ladang .  Hasil bacaan di semua ladang berkenaan adalah seperti berikut:

    1. Kurang 10 ekor lalat hinggap di atas Scudder Fly Grill dalam tempoh 30 saat;
    2. Tiada larva dikesan dalam sekurang-kurangnya 5 kawasan kritikal tinja (setiap ladang); dan
    3. Semua ladang telah menggunakan racun serangga dan larva bagi mengawal pembiakan lalat.

     

    Justeru, masalah lalat dan bau kurang menyenangkan bukan berpunca daripada ladang-ladang ayam di Parit Mahang.  Namun, pihak DVS Selangor akan melakukan lawatan ulangan setiap minggu bagi memastikan memang tiada masalah bau dan kacau ganggu lalat.

    Pihak DVS Selangor juga telah memaklumkan keputusan siasatan ini kepada MDKS supaya mereka membuat siasatan lanjut tentang punca-punca lain.  Seterusnya, MDKS telah mengenalpasti dan menutup sebuah tapak pembuangan sampah haram tidak jauh daripada ladang-ladang ayam.  Penguatkuasa MDKS juga telah meronda tapak pembuangan sampah tersebut dari masa ke semasa bagi menghalang masalah ini daripada berulang.

    Kesimpulannya, Kerajaan Negeri tidak mampu memberi kepastian bahawa masalah lalat dan bau yang kurang menyenangkan tidak akan berlaku pada masa akan datang dengan hakikat bahawa walau pun dengan sistem perladangan yang baik, masalah kacau ganggu masih boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan ladang membuat kesilapan.  Namun, Kerajaan Negeri boleh memberi jaminan bahawa:

    1. Semua ladang ayam diperiksa secara berkala bukan sahaja di Parit Mahang malah di seluruh negeri Selangor;
    2. Semua aduan berkaitan isu ini akan disiasat dengan pantas dan adil;
    3. Sebarang perlanggaran peraturan dan undang-undang oleh ladang-ladang ayam yang menyebabkan kacau ganggu lalat dan bau akan dikenakan tindakan keras seperti kompaun sehingga penggantungan lesen dan pembatalan lesen (tidak boleh menternak lagi).

Lampiran

Tiada Lampiran.