Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

89) MASALAH PEMBINAAN DAN PENGUNAAN PERSIARAN ATMOSPHERA YANG BELUM SIAP DAN ATAU TIDAK SEMPURNA

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan dan atau tindakan yang telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah jalan tersebut?

    Pejabat Daerah dan Tanah Petaling (PDT Petaling) telah melakukan perbincangan bersama pihak pemaju Worldwide Holdings Berhad bagi tujuan cadangan kerja- kerja pelebaran dan sambungan jalan di Persiaran Atmosfera, Seksyen U5, Shah Alam. Namun begitu, kerja-kerja pelebaran dan sambungan jalan ini ditangguhkan kerana terdapat 4 buah struktur kediaman yang telah didirikan tanpa kebenaran di atas tanah rizab jalan tersebut.

    PDT Petaling melalui kerjasama bersama pihak Worldwide Holdings Berhad telah menawarkan wang saguhati berjumlah RM7,000.00 kepada pemilik di setiap kediaman bagi tujuan pengosongan tapak. Walau bagaimanapun, pemilik-pemilik kediaman menolak tawaran yang telah dikemukakan dengan alasan tawaran tidak setimpal.

    Mesyuarat terakhir bersama Yang Berhormat Adun Paya Jaras yang diadakan pada 5 Jun 2018 di PDT Petaling, di mana Pihak Yang Berhormat telah memohon PDT Petaling menyediakan tapak ganti kepada pemilik-pemilik kediaman agar tindakan penguatkuasaan dapat diteruskan. PDT Petaling telah mengenal pasti dua lokasi tapak ganti dan perkara ini perlu diangkat terlebih dahulu untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.