Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

267) Masalah Pencemaran Sungai

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah sungai yang tercemar ekoran industri-industri disepanjang sungai?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa berusaha dalam memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara. Selaras dengan itu, beberapa tindakan jangka panjang telah dirancang dan dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor seperti berikut:

    1. Memperkasakan tindakan penguatkuatkuasaan dan perundangan berdasarkan Pindaan Enakmen LUAS 1999 yang melibatkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara supaya tindakan perundangan diambil lebih digeruni oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran. Cadangan Pindaan Enakmen LUAS 1999 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga (Bajet), Persidangan Penggal Ketiga, Keempat Belas Tahun 2020;
    2. Menubuhkan Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi tujuan pemantauan berterusan 24 jam di kawasan lembangan sungai utama Negeri Selangor;
    3. Pemberian insentif kepada orang awam/pemberi maklumat (whistle blower) yang melaporkan aduan lengkap beserta gambar/video berkenaan aktiviti pencemaran yang berlaku sehingga disabitkan kesalahan. Pelaksanaan pemberian insentif ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan setelah kelulusan Pindaan Enakmen LUAS 1999.
    4. Pindaan Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2012 bagi menambah baik pelaksanaan Peraturan termasuk mengkaji semula had parameter yang ditetapkan bagi setiap aktiviti yang dilesenkan;
    5. Selain daripada itu, pelaksanaan Kajian Total Maximum Daily Load (TMDL) atau Jumlah Beban Harian Maksimum turut merupakan langkah yang sedang diambil bagi menilai kemampuan sesuatu sumber air (sungai) untuk menerima beban bahan pencemar tanpa menjejaskan kualiti airnya. LUAS telah melaksanakan dua (2) kajian TMDL iaitu di Lembangan Sg. Langat dan Sg. Sembah dan akan dilaksanakan di lebih banyak sungai-sungai di Negeri Selangor; dan
    6. Pelaksanaan Kawalan Pencemaran Dengan Cadangan Dasar Pelepasan Sifar/Zero Discharge Policy dan Polluters Pay Principle (PPP) salah satu cadangan yang sedang dikaji dan diteliti oleh Kerajaan Negeri melalui (LUAS). Dasar pelepasan sifar/“zero discharge policy” terhadap sektor perindustrian. Pelaksanaan zero discharge ini adalah inisiatif hijau yang mana premis-premis digalakkan untuk menjalankan kitar semula efluen dari premis mereka berbanding melepaskannya kepada sumber air. Selari dengan pelaksanaan dasar zero discharge tersebut, maka ia berkait rapat dengan dasar polluters pay principle di mana membolehkan mana-mana premis dikenakan caj terhadap jumlah isipadu efluen yang dilepaskan ke dalam sungai selaras seksyen 44(1)(b), Enakmen LUAS 1999. Kedua-dua dasar ini sedang dikaji akan kebolehlaksanaannya secara menyeluruh dari segi impak keseimbangan dan kemampanan sumber air serta ekonomi.

Lampiran

Tiada Lampiran.