Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

169) MASALAH PENGURUSAN BANGUNAN PANGSAPURI KOS RENDAH OLEH JMB KHUSUSNYA DI SRI PERANTAU

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Semua maklum bahawa majoriti JMB yang mengendali pangsapuri kos rendah tidak mampu. Bagaimanakah kerajaan negeri merungkai masalah berangkai keadaan ini secara praktikal?

    Beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri dengan ruang dan kuasa yang terhad bagi membantu JMB pangsapuri kos rendah seperti berikut:-

     

    1. Melaksana program-program pendidikan dan pemberdayaan penduduk pangsapuri kos rendah secara bersepadu bersama pelbagai agensi melalui Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni;

     

    1. Memberi insentif dan galakan kepada komuniti pangsapuri kos rendah supaya bekerjasama dalam aktiviti keselamatan dan pencegahan jenayah melalui Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri Negeri Selangor (SEROJA);

     

    • Melaksana program pemberian air percuma bagi pangsapuri kos rendah yang masih menggunakan meter air pukal yang dikenali sebagai Selangor Free Water Scheme (SAFWA);

     

    1. Melaksana program pemberian diskaun cukai pintu kepada penduduk pangsapuri kos rendah yang bertujuan mengurangkan beban penduduk pangsapuri kos rendah sekaligus membantu JMB mengutip caj penyenggaraan;

     

    1. Memberi bantuan baikpulih kerosakan harta bersama melalui Skim Caring Government for Residents Improvement Aid (CERIA)yang berkonsepkan perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk;

     

    1. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) seringkali bertindak sebagai mediator dalam membantu

     

    menyelesaikan pelbagai masalah dan pertikaian yang dihadapi oleh JMB melalui Mesyuarat Pemudah Isu-Isu Hartanah Bertingkat (PRIHATIN);

     

    • Kerajaan Negeri melalui LPHS juga telah menjalankan proses pendakwaan terhadap pembeli yang engkar membayar caj di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 (Penyenggaraan dan Pengurusan) (Akta 663) sejak dari Jun 2012; dan

     

    • Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan melancarkan kursus Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata (FOKUS) bermula 2 Mac 2014 yang bertujuan melengkapkan Ahli-Ahli Jawatankuasa JMB serta Ahli-Ahli Majlis Perbadanan Pengurusan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam mendepani cabaran dalam mengurus pangsapuri.

    Khusus kepada Pangsapuri Seri Perantau, Kerajaan Negeri telah menjalankan Kempen Pangsapuri Kita Bersih Ceria dan Harmoni berserta pelancaran Pusat Sehenti Ilmu Pengetahuan pada tahun 2010. Manakala Pangsapuri Seri Perantau Blok B, C, D, E dan F yang telah mempunyai JMB telah pun ditawarkan bantuan baikpulih lif di bawah Skim CERIA pada 11 Julai 2014. Walau bagaimanapun tiada maklumbalas yang diterima daripada setiap JMB sehingga kini.

Lampiran

Tiada Lampiran.