MASALAH PENGURUSAN KAMPUNG TRADISI

52) MASALAH PENGURUSAN KAMPUNG TRADISI

Tahun:

Sesi:

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat untuk menyelaraskan cara pengurusan kampung tradisi?

    Untuk makluman dewan yang mulia, Kerajaan Negeri telahpun menyelaras cara pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ini dengan menggunakan pakai garis panduan yang sedia ada dengan menambahbaik dan memurnikanya selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Antara yang diselaraskan adalah seperti tugas dan tanggungjawab Pengerusi MPKK yang diperhaluskan, syarat-syarat pelantikan umum seperti umur, tahap Pendidikan serta penambahbaikan dari segi prosedur yang berkaitan pelantikan, penamatan dan juga tempoh percubaan mereka sebagai Ketua Kampung (Pengerusi) MPKK.
    Sebagai makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 19 September 2018 telah bersetuju untuk menggunapakai nama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta – merta.
    Pengurusan bagi Kampung Tradisi ini akan ditadbir urus oleh individu yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Pengerusi MPKK bagi suatu tempoh yang telah ditetapkan. Tugas dan peranan MPKK ini adalah sebagai pemudahcara dan penghubung antara kerajaan dengan masyarakat setempat dan menjadi perantara di peringkat akar umbi untuk menyampaikan serta melaksanakan dasar-dasar semasa Kerajaan. Mereka ini juga yang akan menyalurkan sebarang
    permasalahan atau aduan kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut dan diselesaikan.
    Pihak KEMAS juga akan membantu dari segi pengurusan MPKK seperti pelaporan mesyuarat, mengemaskini profil kampung melalui Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) dan menjadi ex-officio Mesyuarat MPKK bagi memastikan elemen semak dan imbang dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran MPKK dapat dicapai.
    Selain itu, Pengurusan MPKK yang dipecahkan kepada 11 biro yang ditetapkan juga dapat membantu MPKK bergerak secara efektif dan berkesan dalam memastikan fungsi MPKK itu berada di tahap yang terbaik. Sebagai contoh Biro Ekonomi boleh memfokuskan aktiviti-aktiviti yang boleh meransang serta meningkatkan ekonomi komuniti kampung tersebut manakala Biro Kesihatan pula akan lebih memfokuskan kepada program-program kesedaran kesihatan dan sebagainya yang berkaitan.
    MPKK ini beroperasi berdasarkan Tatacara Pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai rujukan umum. Pihak Kerajaan Negeri sedang mengemaskini dan menambahbaik Garis Panduan – Dasar, Tatacara dan Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi dan Juga MPKK bagi Negeri Selangor untuk digunapakai oleh MPKK sebagai panduan utama bagi mereka dalam menguruskan Kampung Tradisi masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.