Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

22) MASALAH PENGURUSAN PANGSAPURI KOS RENDAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Prihatin Selangor telah menyediakan berpuluh ribu rumah kos pangsapuri rendah di bawah Skim Rumah Selangorku. Apakah perancangan Kerajaan Negeri sekiranya pihak JMB atau berkaitan tidak mampu menguruskan rumah-rumah ini akibat yuran penyelenggaraan yang terlalu rendah atau tidak dibayar?

    Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka perlu bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka sendiri. Peruntukan akta berkenaan jelas menyatakan hak-hak dan tanggungjawab pemilik-pemilik petak terhadap pengurusan unit pangsapuri yang mereka beli dan miliki.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan masalah pengurusan pangsapuri kos rendah yang tidak mampu menguruskan bangunan akibat yuran penyelenggaraan yang terlalu rendah atau tidak dibayar. Antara inisiatif tersebut ialah memberi pendedahan dan latihan kepada  pihak Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) berkenaan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. Pihak JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757). Selain itu, JMB diberi penerangan berhubung mekanisme membawa pemilik-pemilik tegar ini ke mahkamah atau Tribunal Pengurusan Strata bagi tujuan mendapatkan hutang yuran pengurusan.

    Inisiatif kedua, Kerajaan Negeri turut akan membekalkan sistem pengurusan kewangan strata kepada setiap JMB/MC di negeri Selangor untuk memantapkan pengurusan kewangan terutama dari aspek pengurusan kutipan dan pengurusan kos. Sistem ini dapat membantu JMB merancang dan meneliti kadar pengenaan yuran penyelenggaraan bersesuaian dengan kos yang dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Latihan penggunaan sistem akan dilaksanakan secara berperingkat supaya pemahaman penggunaan dan impak ke atas penyediaan sistem ini dapat disampaikan secara terus kepada pihak JMB/MC.

Lampiran

Tiada Lampiran.