Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

54) MASALAH PENGURUSAN PANGSAPURI OLEH JMB/ MC

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pada musim Covid-19 ini, terdapat pangsapuri-pangsapuri yang tidak mendengar nasihat MKN dan mengambil keputusan sendiri terhadap peraturan rumah strata seperti tidak membenarkan pemilik rumah melakukan mengubahsuaian rumah ataupun perbaiki unit rumah. Apakah yang boleh dilakukan oleh pemilik rumah secepat mungkin, sekiranya berhadapan dengan isu-isu seperti ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan satu pekeliling khusus menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Sektor Pengurusan Strata. Surat edaran bertarikh 18 Mei 2020 ini telah diedarkan kepada Pesuruhjaya Bangunan di semua negeri di Malaysia untuk dijadikan rujukan kepada pengurusan strata mengikut situasi pandemik Covid 19 dari masa ke semasa.

    Berdasarkan SOP tersebut, kerja-kerja pengubahsuaian adalah dibenarkan dengan syarat pengubahsuaian yang dilakukan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak pengurusan dan pemilik perlu membuat semakan serta mendapatkan kelulusan daripada Pihak berkuasa Tempatan (PBT). Selain daripada itu, Kontraktor hendaklah mematuhi SOP yang digariskan dengan melaksanakan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan seperti berikut:

    • Skim strata komersial (retail) – bermula dari jam 10.00 malam hingga 9.00 pagi pada hari Isnin hingga Ahad termasuk cuti umum yang diwartakan;
    • Skim strata komersial (pejabat) – bermula dari jam 6.00 petang hingga 9.00 pagi pada hari Isnin hingga Ahad termasuk cuti umum yang diwartakan;
    • Skim strata kediaman – bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum yang diwartakan.
    • Semua kerja yang menghasilkan bunyi yang kuat seperti penggerudian hanya boleh dilakukan antara 9.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja.
    • Kontraktor juga perlu mematuhi SOP Sektor Pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya.

     

    KPKT juga menetapkan bahawa pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) perlu mematuhi arahan dan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] termasuklah mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter, memakai topeng muka 3 lapis (3-ply face mask), menyediakan hand sanitizer kepada orang awam yang berurusan dan melakukan proses nyahkuman secara kerap di dalam premis (disinfection). Pengurusan Strata boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di laman sesawang KPKT atau merujuk ke Jabatan Pesuruhjaya Bangunan pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

    Kegagalan untuk mematuhi SOP boleh membawa kepada tindakan undang-undang, penarikan balik kebenaran beroperasi atau apa-apa tindakan yang berkaitan. Kerajaan, melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, dan lain-lain badan penguatkuasa akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha memastikan SOP dipatuhi. Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) diingatkan untuk sentiasa berhubung dengan badan Kerajaan seliaan yang bertanggungjawab untuk sebarang perkembangan terkini.

    Sekiranya terdapat mana-mana pengurusan strata yang enggan membenarkan kerja pengubahsuaian dilaksanakan tanpa alasan yang munasabah, aduan boleh dikemukakan terhadap pengurusan skim strata yang terlibat kepada Unit Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membolehkan teguran dibuat kepada pengurusan skim strata yang terbabit.

Lampiran

Tiada Lampiran.