Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

190) MASALAH PENYALURAN AIR OLEH SYABAS KE PROJEK PEMBANGUNAN BARU

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah penyaluran air oleh SYABAS ke projek - projek pembangunan baru untuk memastikan pembangunan Negeri Selangor tidak terbantut ?

    Tanggungjawab pihak SYABAS di bawah Perjanjian Konsesi hanyalah untuk membekalkan dan mengagihkan air terawat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. SYABAS telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai Agensi Perakuan (Certify Agency) bagi tujuan menyemak dan meluluskan pelan-pelan sistem pembekalan air baru yang dikemukakan oleh Pemaju Hartanah.  Peranan SYABAS sebagai Agensi Perakuan tersebut adalah setakat memberikan ulasan teknikal dan seterusnya meluluskan pelan-pelan pembangunan projek bekalan air sahaja.

    Sebagai Certify Agency, SYABAS telah menangguhkan dalam memberikan kelulusan ke atas permohonan merancang projek-projek pembangunan baru atas dakwaan ketidakcukupan air di Selangor.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah positif untuk mengatasi masalah penangguhan kelulusan projek-projek pembangunan baru oleh SYABAS dengan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneruskan untuk meluluskan Kebenaran Merancang ke atas permohonan pemaju hartanah sekiranya pelan-pelan yang dikemukakan adalah teratur dari segi teknikal dan boleh dilaksanakan mengikut asas kejuruteraan dan guna tanah, tanpa mengambil kira dakwaan ketidakcukupan air yang didakwa oleh SYABAS.

    Namun demikian, sekiranya permohonan Pemaju Hartanah tersebut tidak mendapat sokongan dari SYABAS atas alasan masalah teknikal, maka permohonan Pemaju tersebut perlu disemak semula oleh Pemaju Hartanah berkenaan bagi memastikan semua syarat teknikal telah dipatuhi.

    Kerajaan Negeri Selangor berpandangan, penyelesaian ke atas SYABAS ini hanya boleh dicapai dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lampiran

Tiada Lampiran.