Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

91) MASALAH PERCAMBAHAN GERAI-GERAI TANPA LESEN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejak kebelakangan ini, gerai tanpa lesen terutamanya di tepi-tepi jalan tumbuh macam cendawan selepas hujan. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja gerai baru yang didirikan. Lokasi gerai-gerai ini mungkin terletak di tempat-tempat yang strategik, di tepi-tepi jalan misalnya namun dalam banyak kes ia menjejaskan pemandangan serta kebersihan di sesuatu kawasan. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani masalah ini?

    Dalam keadaan kegawatan dan pemulihan ekonomi yang tidak menentu ini, Kerajaan Negeri menggalakkan golongan yang diberhentikan kerja menceburi bidang perniagaan sebagai punca pendapatan mereka. Mereka ini digalakkan untuk berniaga di pasar malam, pasar pagi dan pasar tani yang dianjurkan oleh PBT. Walaupun banyak ruang perniagaan telah disediakan, Kerajaan negeri sedar terdapat banyak gerai-gerai tanpa kebenaran yang didirikan oleh peniaga. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri telah meminta supaya PBT menjalankan pemeriksaan terhadap gerai-gerai baru ini untuk memastikan kesesuaian lokasi perniagaan dan aspek kebersihan. Mana-mana gerai yang tidak menimbulkan kacau-ganggu dan bantahan penduduk, mereka bolehlah memohon permit sementara daripada PBT. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri tidak menggalakkan peniaga mendirikan gerai sewenang-wenangnya dan mereka digalakkan untuk berniaga di lokasi-lokasi yang disediakan oleh PBT untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.