Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

131) MASALAH PROJEK-PROJEK TERBENGKALAI DI DUN TERATAI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah projek-projek terbengkalai di DUN Teratai yang membawa isu ekonomi dan sosial kepada penduduk-penduduk setempat.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat hanya satu projek terbengkalai yang dikenal pasti di DUN Teratai yang terbengkalai iaituNusa Mewah Villa Kondominium yang dibangunkan oleh Tetuan Mudi Angkasa Development

    Sdn Bhd. Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan no. lesen pemajuan:  8255/062006/718 dan di bawah pemantauan KPKT.

    Pembangunan projek ini melibatkan pembinaan dua (2) blok Kondominium 15 tingkat sebanyak 360 unit rumah dengan harga jualan RM132,000.00 seunit dan semua unit telah terjual. Ketika projek terbengkalai, kemajuan kerja telah mencapai 56% siap. Pada 13 Mac 2008, Mahkamah Tinggi telah mengenakan perintah penggulungan ke atas pemaju Mudi Angkasa Development Sdn Bhd dan melantik Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi (liquidator) untuk mentadbir syarikat berkenaan yang digulung.

    Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri melalui LPHS dan KPKT telah kerjasama dalam mengadakan perbincangan dengan pelikuidasi bagi membolehkan projek ini dipulihkan semula. Lanjutan daripada perbincangan tersebut, pelikuidasi telah mendapat persetujuan daripada Mahkamah untuk melantik pemaju penyelamat iaitu Conlay Contruction Sdn Bhd dengan anggaran kos pemulihan keseluruhan sebanyak RM25 juta. Sehubungan itu, pembeli telah ditawarkan 2 pilihan samada berminat untuk meneruskan pembinaan dengan dikenakan kos tambahan (topup) sebanyak RM30,700 atau melepaskan unit mereka dan menerima bayaran balik amaun yang telah dibayar selepas projek siap dengan Sijil Layak Menduduki.

    Untuk tujuan tersebut, pembeli perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak bank/pembiaya bagi mendapatkan pinjaman tambahan tersebut sebelum pemaju dapat melaksanakan pemulihan projek tersebut. Lanjutan daripada itu, kerja-kerja pemulihan telah dilaksanakan pada 1 Ogos 2012 dan dijangka siap sepenuhnya dan penyerahan kunci akan dibuat kepada pembeli pada bulan September 2013.

Lampiran

Tiada Lampiran.