Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

58) MASALAH PUSAT SIBER MENJALANKAN AKTIVITI BERJUDI

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah cara Kerajaan membanteras masalah pusat siber berunsur perjudian yang semakin berleluasa?

    Dalam usaha membanteras masalah pusat siber yang menyalah gunakan premis kepada aktiviti perjudian adalah PBT dan agensi penguatkuasaan yang berkenaan telah melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:

    1. Bagi pembaharuan lesen rumah urut dan siber kafe, pemeriksaan setiap tahun diadakan bersama dengan Ahli Majlis, Pegawai Pelesenan dan anggota penguatkuasa bagi melihat kepatuhan kepada syarat-syarat lesen PBT. Semua maklumat pemeriksaan dan gambar-gambar yang berkaitan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bagi mendapatkan keputusan sama ada lesen tersebut boleh diperbaharui atau tidak;
    2. Pemeriksaan berkala ke atas premis rumah urut dan pusat siber/kafe siber diadakan oleh anggota penguatkuasa bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan PBT dan anggota penguatkuasa sering membuat penyamaran ke lokasi-lokasi hot spot bagi mencari maklumat dan merancang tindakan pembanterasan;
    3. PBT juga telah mengadakan taklimat kepada semua pengusaha pusat siber/siber kafe bagi menerangkan garis panduan pusat siber/siber kafe yang perlu dipatuhi sepertimana pekeliling Garis Panduan Pengawalan Perniagaan Dan Rekabentuk Pusat Siber Dan Kafe Siber Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor;
    4. Bagi semua permohonan baru dan pembaharuan lesen pusat siber/kafe siber, surat sokongan daripada agensi seperti Polis Diraja Malaysia perlu dikemukakan kepada Majlis bagi memastikan pengusaha pusat siber/kafe tidak terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral siber serta aktiviti yang dijalankan mengikut peraturan;
    5. Peranan semua agensi seperti PBT, Polis, Imigresen, Pejabat Tanah dan JAIS mempunyai peranan penting antara satu sama lain di dalam menguatkuasakan undang-undang dan membanteras gejala tidak bermoral;
    6. Pengusaha yang didapati bersalah, tindakan meroboh premis, menyita premis dan merampas peralatan akan dilakukan termasuklah memotong bekalan elektrik dan air.
    7. Kempen kesedaran juga dilakukan melalui program-program yang dilaksanakan serta melalui media-media bagi mengelakkan masyarakat terjerumus ke dalam gejala yang tidak bermoral dan menghindarkan permintaan terhadap aktiviti tersebut; dan
    8. Mengenai peranan Ahli Majlis berhubung isu pusat judi haram, Ahli Majlis menganggotai Jawatankuasa Perlesenan yang berperanan meluluskan lesen perniagaan dan membatalkan lesen yang disalahguna. Ahli Majlis juga berperanan untuk menyampaikan aduan daripada orang awam berkenaan premis-premis yang terbabit dengan kegiatan judi haram bagi membolehkan pihak Penguatkuasa PBT mengambil tindakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.