Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

73) MASALAH RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai peruntukan untuk membaiki rumah pangsapuri kos rendah orang miskin yang bocor memandangkan terdapat rumah-rumah berkualiti rendah mengalami kerosakan serius setelah tamatnya liability defect period?

    1. Kerajaan Negeri tiada mempunyai peruntukan khusus untuk membaiki  rumah  pangsapuri kos rendah yang mengalami kerosakan serius setelah tamatnya tempoh liabiliti kecacatan memandangkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] pembangunan kawasan pemajuan berstrata termasuk pangsapuri kos  rendah  merupakan lot-lot hakmilik kawasan persendirian. Oleh demikian, segala kos berkaitan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama seperti bumbung, lif, tangga dan sebagainya dibiayai melalui kutipan caj penyenggaraan yang dibayar oleh  pembeli kepada pemaju, Badan Pengurusan Bersama, Perbadanan Pengurusan atau ejen pengurusan yang dilantik oleh Pesuruhjaya

     

    .           Walau bagaimanapun, atas dasar keprihatinan ke  atas  masalah  rakyat  Negeri Selangor, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM396,192.00 untuk melaksanakan suatu kajian mengenai kerosakan bumbung pangsapuri kos rendah di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung Selangor. Seterusnya Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor telah menyediakan anggaran kos untuk membaiki bumbung sahaja iaitu RM490,000.00 bagi 2 blok dan RM19,110,000.00 bagi 78 blok keseluruhan.

     

    Justeru itu, pada tahun 2010 Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM500,000.00 khusus untuk membaik pulih bumbung di kawasan terbabit. Namun, setelah Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM15 Juta bagi tujuan menyelesaikan isu-isu pangsapuri kos rendah di Bukit Beruntung, Kerajaan Negeri telah menarik peruntukan tersebut dan dimasukkan sebagai peruntukan tambahan kepada geran pelancaran RM 1 Juta untuk membaik pulih lif di pangsapuri kos rendah.

     

    Maka, Kerajaan Negeri pada tahun 2010 memberi fokus untuk membaik pulih lif-lif di pangsapuri kos rendah memandangkan lif adalah  komponen  dan  kemudahan  asas yang penting dan perbelanjaan penyenggaraan lif adalah sangat tinggi untuk  dibiayai  oleh pembeli-pembeli yang mempunyai pendapatan  yang  rendah.  Geran  pelancaran RM 1 Juta tersebut bagi membolehkan isu penyenggaraan lif bagi perumahan  kos  rendah dilihat secara keseluruhan dan menggubal suatu kaedah seragam untuk mengatasi kos penyenggaraan lif yang perlu  ditanggung  oleh  pembeli-pembeli berkaitan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.