Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

109) MASALAH STATUS TANAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak tanah-tanah di kawasan DUN Sri Muda terutama di kawasan Bukit Kemuning merupakan tanah berstatus pertanian dan sebagainya. Jika tanah-tanah ini diusahakan untuk industri pertanian, ia serba sedikit dapat menjana sektor pertanian di kawasan DUN Sri Muda yang lebih tertumpu kepada sektor industri dan perumahan. Apakah ada tindakan yang diambil terhadap status tanah pertanian yang telah ditukar kepada perindustrian tetapi tidak ada industri yang dijalankan dan ia terus terbiar sejak sekian lama, huraikan cadangan tersebut.

    Setakat ini tiada tindakan diambil terhadap tanah tanah yang telah ditukar syarat kepada
    industri tetapi tidak digunakan untuk tujuan tersebut di daerah Klang. Cadangan untuk
    menggunakan tanah industri bagi tujuan pertanian untuk memanfaatkan tanah yang
    terbiar adalah baik. Walaubagaimanapun ianya perlu selaras dengan peruntukan Kanun
    Tanah Negara yang memerlukan aktiviti yang dijalankan tidak bercanggah dengan
    kategori guna tanah. Pihak yang ingin mengusahakan pertanian perlu menghubungi
    pemilik tanah berdaftar kerana tanah tersebut adalah tanah hakmilik. Dari segi cukai
    tanah, kerajaan negeri tidak mengalami kerugian kerana cukai tanah untuk industri lebih
    tinggi dari cukai pertanian.

    Kerajaan Negeri pada dasarnya tidak mengalami kerugian di atas kegagalan pemilik
    tanah untuk membangunkan tanahnya walaupun status tanah telah dipinda pada
    kategori yang lebih tinggi. Ini kerana Kerajaan Negeri telah memperolehi bayaran
    premium tambahan yang dikenakan dan cukai tahunan mengikut kategori tanah
    tersebut. Jika pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah tersebut maka Kerajaan
    Negeri melalui Pentadbir Tanah boleh merampas tanah tersebut berdasarkan Seksyen
    100 Kanun Tanah Negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.