Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

75) MASJID DIJADIKAN TEMPAT CERAMAH POLITIK

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri memastikan Masjid dan surau hanya digunakan untuk sembahyang oleh Umat Islam dan bukanlah menjadi gelanggang berceramah politik oleh Individu yang berkaitan?

    Tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan masjid dan surau agar tidak menjadi gelanggang berceramah politik oleh individu yang berkaitan adalah :

     

    • Meluaskan skop kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 Pindaan 2015 kepada pihak yang menyebabkan berlakunya kesalahan utama. Dengan pindaan itu, pihak penganjur turut akan dikenakan tindakan yang sama seperti yang dikenakan kepada individu yang mengajar.

    Melantik semua pegawai di Bahagian Masjid dan Bahagian Dakwah sebagai pegawai penguatkuasa agama dibawah Seksyen 79 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 bagi membantu pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang yang berkenaan.

    Memberi taklimat dan penerangan kepada pegawai-pegawai masjid berhubung peranan mereka dalam membantu JAIS/ MAIS dalam menguruskan pentadbiran masjid dan ahli kariah termasuklah menjadikan masjid sebagai zon aman dan tempat menyatupadukan masyarakat.

    Untuk makluman, dalam Islam masjid berperanan bukan sahaja bagi tujuan umat Islam mendirikan Solat (sembahyang) sahaja, bahkan berperanan sebagai:

    • Pusat perkembangan ilmu, tempat mengadakan majlis-majlis keagamaan, dan pusat aktiviti sosial umat Islam setempat. Umumnya, masjid adalah sebagai pusat membina kemajuan ummah dari segi spiritual untuk kelangsungan hidup di bawah pimpinan wahyu
    • Masjid juga berkait rapat dengan peranan umat Islam melaksanakan aktiviti Amar Makruf Nahi Mungkar melalui program-program yang bersifat memberi khabar gembira (syurga) dan khabar yang tidak gembira (neraka).
    • Justeru, masjid juga berfungsi sebagai pusat kegiatan dakwah umat Islam. Kepentingan masjid ini jelas bila hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah didahulukan dengan pembinaan masjid Quba’.
    • Ditegaskan juga bahawa politik tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Masalah yang wujud hari ini bila ideologi dan pendirian peribadi kepartian melampau segelintir penceramah yang menjadikan jemaah tidak selesa, perpecahan dan kekeliruan seterusnya menjadikan masjid tidak aman dan berkecuali.

    Bagi mengatasi isu orang bukan Islam memasuki masjid dan menyampaikan ucapan/ceramah , Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku jabatan yang diberi mandat untuk memantau pengurusan masjid dan surau di Negeri Selangor telah mengemaskini semula Garis Panduan Penggunaan Masjid Dan Surau Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh MAIS pada 28 Ogos 2010.Garis Panduan tersebut akan diedarkan semula ke semua masjid dan surau di Negeri Selangor sebagai dokumen rujukan pegawai masjid dan surau dalam jika terdapat permohonan dari orang bukan Islam untuk memasuki masjid.

Lampiran

Tiada Lampiran.