Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

194) MASYARAKAT ORANG ASLI

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf ekonomi, pendidikan dan juga sosial masyarakat orang asli?

    Untuk makluman Yang Berhormat,

    Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa komited dalam usaha untuk menaiktaraf kehidupan masyarakat Orang Asli agar keluar dari belenggu kemiskinan . Sehubungan itu, Kementerian ini melalui JAKOA telah menyediakan satu Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (PESKOA) bagi Tahun 2016 – 2020, yang merupakan blue print sebagai asas rujukan kepada warga kerja JAKOA dalam tempoh lima tahun. PESKOA ini menggariskan tujuh (7) fokus yang meliputi aspek Pentadbiran Tanah, Kemudahan Prasarana, Modal Insan dan Kemahiran Belia, Ekonomi Mampan, Seni, Budaya dan Warisan, Jaringan Keselamatan (Kebajikan) dan Sistem Penyampaian Perkhidmatan.  Fokus-fokus tersebut disokong oleh 7 teras strategik dan 45 program yang disasarkan.

    Untuk makluman Yang Berhormat jua, pada tahun 2019 JAKOA  Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan telah diperuntukan sebanyak RM1.2 juta bagi bajet pembangunan. Antara projek yang dilaksanakan adalah pembangunan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam, serta bantuan bina baru  dan baik pulih rumah. Bagi usaha meningkatkan taraf ekonomi Orang Asli, JAKOA memberi fokus terhadap Projek Pembangunan Ladang . Sehingga kini JAKOA dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang melibatkan seramai 106 peserta dengan keluasan 91.09 hektar. Salain itu juga, JAKOA turut melaksanakan Program Ladang Masyarakat yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli itu sendiri, manakala bantuan input pertanian disediakan oleh JAKOA. Sehingga 31 Disember 2018, terdapat seramai  120 peserta dengan jumlah keluasan 48.57 hektar. Selain itu, pembangunan ushawan Orang Asli turut diberi keutamaan bagi melahirkan maysarakat Orang Asli yang mampu berdikari dan berdaya saing. Sepanjang tahun 2018, seramai 16 usahawan telah dibangunkan dan menerima bantuan yang disalurkan oleh JAKOA seperti premis perniagaan, peralatan perniagaan, kursus dan latihan yang berkaitan.

     

    Untuk makluman yang berhormat ,JAKOA juga turut memberi penekanan terhadap program peningkatan kapasiti dan kapabiliti masyarakat Orang Asli. Program yang dilaksanakan merangkumi pembangunan pendidikan, komuniti, kemahiran dan kerjaya. Dalam aspek pendidikan JAKOA telah menyediakan pelbagai  inisiatif bagi memastikan pendidikan dikalangan Orang Asli tidak ketinggalan dari arus perdana, JAKOA telah melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli seperti berikut :

     

    1. Program kecemerlangan pelajar di sediakan kepada pelajar- pelajar Orang Asli yang akan mengambil peperiksaan umum seperti UPSR/PT3/ SPM agar memperolehi keputusan cemerlangan
    2. Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) berasrama harian bagi mengurangkan kadar keciciran pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Antara sekolah yang telah laksanakan konsep K9 di Selangor ialah Sekolah Kebangsaan Taman Desa Kemandol, Kuala Langat.
    3. Peluang kemasukkan khas pelajar Orang Asli lepasan SPM ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan yang dipersetujui oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
    4. Program Ijazah Luar Negara (PILN) yang ditawarkan kepada pelajar Orang Asli cemerlang di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di universiti luar negara. Program ini adalah kerjasama antara JAKOA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) . Sehingga 2018 seramai 87 pelajar Orang Asli yang telah melanjutkan pengajian di luar negara.

     

    Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengambil langkah komprehensif dan menyalurkan bantuan-bantuan bagi pendidikan anak Orang Asli seperti berikut

     

    1. Penyediaan kemudahan pengangkutan pelajar ke sekolah bagi anak Orang Asli yang tinggal di penempatan Orang Asli Negeri Selangor
    2. Insentif wang saku pelajar sekolah menengah dengan kadar sebanyak RM2 mengikut kehadiran pelajar
    3. Pembiayaan yuran persekolah kepada pelajar Orang Asli yang tidak menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)
    4. Skim Bantuan Galakan Pendidikan (Biasiswa) kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke peringkat Matrikulasi, Asasi, Sijil, Pra Diploma, Diploma dan Ijazah di Isntitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)

     

    JAKOA juga menyediakan Program Latihan Kemahiran Kerjaya (PLKK) untuk membuka peluang kepada golongan belia yang gagal menamatkan persekolahan. Golongan belia ini akan ditawarkan mengikuti latihan yang melayakkan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap I, II dan Sijil Kompentasi serta berpeluang memasuki pasaran pekerjaan dengan pendapatan diantara RM900 hingga RM1,500 sebulan.

    Jabatan Kemajuan Orang Asli akan sentiasa memastikan pelaksanaan program pembangunan modal insan yang dilaksanakan selari dengan pelaksanaan pembangunan fizikal bagi peningkatan kapasiti dan kapabiliti masyarakat Orang Asli agar dapat bersaing dengan masyarakat arus perdana.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.