Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

5) MELINDUNGI TANAH ADAT ORANG ASAL/ASLI

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kaedah yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri bagi melindungi tanah adat Orang Asal & Asli terutamanya di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

    Antara kaedah-kaedah yang boleh digunapakai untuk melindungi tanah Orang Asli adalah dengan menguatkuasakan peruntukan undang – undang yang berkaitan dengan kesejahteraan hidup Orang Asli. Antara Akta yang jelas mempertahankan hak Orang Asli adalah Akta 134, Akta Orang Asli 1954. Dalam soal tanah, Seksyen 6 akta tersebut, adalah berkaitan pengurusan kawasan Orang Asli atau lebih mudah dikenali sebagai tanah saka. Tidak dinyatakan di mana-mana dalam akta tersebut berkaitan Tanah Wilayah Adat Orang Asli.

    Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengenai pentadbiran, kebajikan dan kemajuan Orang Asli secara amnya, pengurusan perlindungan tanah saka adalah menjadi keutamaan. Sehubungan dengan itu, JAKOA Negeri Selangor adalah komited untuk mewartakan sebagai rezab Orang Asli keseluruhan kawasan Orang Asli di negeri, termasuklah tanah Orang Asli di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

    Tindakan pertama yang perlu dibuat adalah perizaban dan pewartaan semua tanah Orang Asli mengikut seksyen 6 atau seksyen 7, Akta 134, mengikut mana yang bersesuaian hendaklah diluluskan dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri. Melalui pewartaan seksyen 6 dan seksyen 7 ini :

    1. Kawasan / Rizab Orang Asli dilindungi daripada diisytiharkan sebagai Rizab Orang Melayu di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan Rizab Orang Melayu;
    2. tiada tanah boleh diisytiharkan sebagai tempat perlindungan atau rizab di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pelindungan binatang dan burung liar;
    3. tiada tanah boleh diisytiharkan sebagai hutan rizab di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan hutan;
    4. tiada tanah boleh diberikan hakmilik, diberikan, dipajakkan atau selainnya dilupuskan kecuali kepada Orang Asli daripada masyarakat Orang Asli yang biasanya bermastautin di dalam rizab itu; dan
    5. tiada pendudukan sementara mana-mana tanah boleh dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah.
    6. tiada lesen bagi pemungutan hasil hutan di bawah mana-mana undang- undang bertulis yang berhubungan dengan hutan boleh dikeluarkan kepada orang yang bukan Orang Asli yang biasanya bermastautin di dalam kawasan Orang Asli itu atau kepada mana-mana perusahaan komersial tanpa berunding dengan Ketua Pengarah dan dalam memberikan apa-apa lesen sedemikian bolehlah diperintahkan supaya suatu kadar tertentu buruh Orang Asli diambil kerja.

     

    Sekiranya mana-mana tanah ingin disingkirkan daripada terus menjadi Kawasan atau Rizab Orang Asli, peruntukan dibawah seksyen 12 berkaitan perihal pampasan hendaklah dipatuhi dan mestilah berpandukan nilaian JPPH mengikut konsep di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960).

    Manakala sekiranya berlaku dimana terdapat harta tak alih seperti yang bukan tanah kerajaan, yang perlu diisytiharkan sebagai Kawasan atau Rizab Orang Asli, Kerajaan boleh membuat pengambilan tanah seperti yang diperuntukkan di dalam APT 1960.

    Berkaitan isu tanah yang didiami oleh Orang Asli yang masih belum diwartakan dan kawasan tersebut telah pun diisytiharkan sebagai Rizab Hutan dan lain-lain rizab, peruntukan sekyen 10, Akta 134 hendaklah dipatuhi. Seksyen tersebut jelas mengatakan bahawa Orang Asli tidak berkewajipan untuk meninggalkan kawasan tersebut dan boleh terus bermastautin didalamnya mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Kerajaan Negeri juga boleh mengecualikan Orang Asli daripada sebarang tindakan penguatkuasaan undang- undang bertulis yang terpakai di atas rizab – rizab tersebut.

    Selain itu bagi mengelakkan tanah dan masyarakat Orang Asli daripada dieksploitasi oleh individu dan syarikat tertentu, setiap kemasukan individu bukan Orang Asli, syarikat dan Badan Bukan kerajaan ke perkampungan / kawasan Orang Asli hendaklah mendapat kebenaran daripada JAKOA agar pemantauan dapat dibuat.

    Dengan penguatkuasaan sepenuhnya Akta 134 diperingkat Kerajaan Negeri melalui kerjasama semua jabatan dan pihak yang berkaitan, usaha dalam melindungi tanah Orang Asli sudah pastinya akan membuahkan hasil.

    Satu lagi akta yang mempunyai kuasa undang-undang yang luas adalah Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965).Memandangkan tanah Orang Asli masih merupakan tanah Kerajaan, tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui akta ini. Jabatan dan agensi yang terlibat boleh menjalankan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425, KTN 1965 bagi sebarang pencerobohan, penyalahgunaan tanah rizab, pendudukan tak sah dan yang seumpama dengannya. Penguatkuasaan seksyen 426 dibawah akta yang sama juga boleh dibuat terhadap sebarang pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tak sah di dalam Kawasan / Rizab Orang Asli.

    Bagi tanah Orang Asli di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Selain dari tindakan bersama semua pihak berwajib dan agensi penguatkuasan terlibat untuk menjayakan setiap perkara di atas, perkara yang perlu diperhalusi adalah Rang Undang-Undang Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (RUU ABS) yang telah diluluskan Dewan Negara pada 2017.

    Kerajaan Negeri perlu memahami dan menguatkuasakan RUU ABS ini kelak bagi menjamin nasib peribumi di Pulau Indah tidak terjejas dan eksploitasi terhadap hak Biodiversiti Orang Asli seperti pengetahuan tradisi mengenai tumbuhan herba dan manfaatnya tidak berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.