Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

159) MEMANDANGKAN KOS RUMAH YANG KIAN MENINGKAT DAN TERDAPAT RAMAI RAKYAT YANG TIDAK DAPAT PINJAMAN DARI BANK

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri sedia membantu golongan anak selangor untuk mendapat pinjaman ?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedia membantu golongan  anak Selangor mahupun bukan anak Selangor untuk mendapatkan pinjaman perumahan di atas kegagalan mendapatkan pinjaman bank. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan satu Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu rakyat Selangor membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) akan menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga menawarkan Skim Pembiayaan ‘Selangor Smart Home Buyers’ kepada pembeli rumah pertama yang ditawarkan Rumah Selangorku. Melalui Skim ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 10% daripada harga rumah dan pembeli perlu mendapatkan pembiayaan selebihnya daripada pihak bank. Peruntukan sebanyak RM10 juta setahun yang dijangkakan akan melibatkan 500 hingga 800 orang pemohon berdasarkan harga Rumah Selangorku yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dalam proses mengenal pasti mekanisma penawaran terbaik sebelum Skim ini ditawarkan kepada orang awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.