Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

9) MEMARTABATKAN GOLONGAN WANITA DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri dalam memartabatkan serta memperkasakan golongan wanita di Selangor?

    Dalam memartabatkan serta memperkasakan golongan wanita di Selangor, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga telah merangka perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk dilaksanakan seperti berikut:

    1. Jangka Masa Pendek

    a) Pembangunan Kapasiti Kepada Golongan Wanita

    Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah mula dilaksanakan sejak 18 Mac 2020 yang lalu akibat Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada masyarakat, khususnya wanita. Selain isu penyakit dan kesihatan, kemelesetan ekonomi yang bakal dihadapi disebabkan oleh Pandemik Covid-19 akan membawa kesan negatif yang tidak seimbang terhadap golongan wanita, dengan implikasi yang cukup besar ke atas kesaksamaan jantina dalam tempoh kemelesetan dan pemulihan.[1]

    Laporan Kaji Selidik Impak Sosio-Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Terhadap Kehidupan Wanita di Selangor yang telah dijalankan oleh Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menunjukkan 25 peratus wanita mengalami kehilangan sebahagian dari sumber pendapatan mereka melalui cuti tanpa gaji, penutupan premis perniagaan, ataupun ditamatkan kontrak perkhidmatan. Bukan itu sahaja malah, 43% daripada responden melaporkan kehilangan sumber pendapatan isi rumah disebabkan oleh pelaksanaan PKP.

    IWB Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Siri Pembangunan  Kapasiti:

    1. Siri keusahawanan yang diberi nama Usahanita Selangor bagi membimbing golongan sasaran ini dengan kemahiran dan latihan yang disediakan (secara virtual).
    2. Program Pembangunan Kapasiti Keluarga Harmoni dilaksanakan dengan memberi latihan dan pendedahan mengenai hak-hak wanita di dalam keluarga dan undang-undang, kemahiran berkomunikasi, pengurusan kewangan dan pengurusan konflik sebagai persiapan diri untuk memasuki alam perkahwinan.
    3. Program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya (JMWB) Selangor mensasarkan lebih daripada 1000 wanita terpinggir yang mempunyai akses yang jauh daripada bandar bermula Tahun 2019 sehingga Ogos 2020. Golongan sasaran adalah Wanita dari golongan asal, india & FELDA dan diberi pendedahan menerusi pelbagai modul seperti Undang-undang Gangguan Seksual, Keganasan Rumah Tangga dan Perlindungan Kanak-Kanak, Hak dan Tanggungjawab Demokrasi Rakyat Malaysia dan lain-lain.
    4. Selain itu, Women2Win merupakan program kerjasama di antara IWB Selangor dan The Sasakawa Peace Foundation (SPF) bagi mengetengahkan bakat wanita muda untuk menjadi pemimpin di samping mempersiapkan calon wanita untuk mencalonkan diri dalam pilihan raya negara mereka pada masa akan datang.

     

    b) Penyelidikan Berkaitan Isu Wanita

    Kerajaan Negeri Selangor menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) telah melaksanakan beberapa penyelidikan bagi membantu menambahbaik dasar yang sedia ada dan memberi input untuk pembuat dasar. Penyelidikan yang telah dijalankan adalah merangkumi sektor politik, ekonomi dan sosial. Topik penyelidikan yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

    1. Kaji Selidik Impak Sosio-Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Terhadap Kehidupan Wanita di Selangor.
    2. Wanita dalam penyertaan dan pemberdayaan politik di Malaysia: Kes PRU 14.
    3. Diskriminasi Gender dalam amalan pekerjaan dalam kalangan penjawat awam di Negeri Selangor.
    4. Tahap dan Indeks keberkesanan Program Mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal di Negeri Selangor.

     

    2. Jangka Masa Panjang

    a) Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming-GM)

    Kerajaan Negeri menerusi IWB Selangor telah mula melaksanakan Projek Pengarusperdanaan Gender atau Gender Mainstreaming (GM) dengan menjadi negeri pertama yang melaksanakannya pada peringkat negeri di Malaysia selaras dengan Dasar Wanita Selangor melalui Matlamat satu (1) Menggalakkan Kerangka Pembangunan Gender Sensitif.  Beberapa Pegawai Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Point-GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (Gender Focal Team-GFT) telah dilantik dan diberikan mandat untuk melaksanakan GM di empat (4) portfolio perintis di Negeri Selangor secara berperingkat selama tiga (3) tahun bermula Tahun 2020. Empat (4) portfolio yang terlibat adalah:

    1. Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar – Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS);
    2. Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor;
    3. Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan – Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor; dan
    4. Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

    Sasaran untuk GM diinstitusikan dan menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran kerajaan negeri pada masa akan datang supaya segala perancangan dan pelaksanaan projek, program mahupun aktiviti akan merangkumi semua kelompok masyarakat secara inklusif.

    b) Belanjawan Responsif Gender (Gender Responsif Bugeting – GRB)

    Jabatan Perangkaan Malaysia yang telah menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM 2,208; dari kadar RM 980 yang telah diguna pakai sejak tahun 2005. Ia menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had PGK 2005.[2]

    Belanjawan merupakan sumber utama dalam menentukan pengagihan sumber kepada masyarakat. Untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, belanjawan dan strategi fokus kepada pemberdayaan dan berasaskan keperluan. Strategi seperti ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan atau ketidakadilan dalam pengagihan sumber yang hanya mengenal pasti kelompok tertentu sahaja sebagai golongan miskin yang harus dibantu dan menerima manfaat. Dengan pelaksanaan Belanjawan Responsif Gender di peringkat kerajaan negeri, perancangan dan pengagihan sumber kepada masyarakat, khususnya wanita akan dapat dilaksanakan dengan lebih adil.

    c) Akademi Kepimpinan Wanita (AKW)

    Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah melaksanakan program kerjasama dengan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Pusat Wanita Berdaya dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

    AKW merupakan sebuah program intensif hasil cetusan idea YB Dr. Siti Mariah Mahmud untuk memantapkan kemahiran dan bertindak sebagai ‘paip bakat’ (talent pipeline) untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial dalam usaha menjadi pemimpin.

    Matlamat pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan Dasar Wanita Selangor yang ke ke-4 iaitu mempercepat penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita dengan Kemahiran Organisasi, Kesaksamaan Gender, Kepimpinan Politik dan Kemahiran Insaniah. Program rintis ini menyasarkan 30 peratus daripada graduan AKW memegang jawatan kepimpinan khususnya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

    d) Program Pembelajaran Sepanjang Hayat

    Pendidikan sebagai mobiliti sosial terbukti berkesan seperti yang dihujahkan dalam artikel Bank Dunia yang bertajuk “Why Education Matters for Economic Development” bahawa pendidikan bertindak sebagai pelaburan sepanjang hayat dan strategi meningkatkan diri dengan kemahiran terkini adalah strategi terbaik dalam mendepani cabaran keperluan kemahiran yang semakin pantas berubah seiring kepesatan perkembangan teknologi.

    Seiring dengan tersebut, pihak kerajaan negeri, IWB Selangor dan pihak Open University Malaysia (OUM) bakal melancarkan “Program Pembelajaran Sepanjang Hayat” sebagai salah satu inisiatif jangka masa panjang untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia.

    Program ini mensasarkan untuk memberikan tajaan penuh pembiayaaan pendidikan kepada Wanita Selangor khususnya di peringkat akar umbi yang bekerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan bagi mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik, Wanita Selangor yang berpendidikan menengah atau dalam tempoh ‘career break’ dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya serta Peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor.

    e) Penyelidikan Berkaitan Isu Wanita

    Penyelidikan yang berterusan berdasarkan tujuh (7) Matlamat yang terdapat dalam Dasar Wanita Selangor akan terus dijalankan secara berterusan. Hasil penyelidikan yang dijalankan akan dibentangkan dan dibincangkan di dalam beberapa siri Perbincangan Meja Bulat bersama pemegang taruh yang berkaitan. Penyelidikan yang akan dilaksanakan mensasarkan untuk memberi penambahbaikan dan rekomendasi kepada pembuat dasar khususnya pada peringkat Kerajaan Negeri.

    [1] Alon, Doepke, Olmstead-Rumsey & Terlilt, 2020

    [2] Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia, Julai 2020

Lampiran

Tiada Lampiran.