Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

19) MEMBAIKPULIH DAN MENAIKTARAF INFRASTRUKTUR SUKAN

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberi peruntukan membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur sukan ke dalam peruntukan tahunan Ahli Dewan Negeri?

    Kerajaan Negeri amat menitik beratkan aspek pembangunan sukan dan sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor.

    Justeru itu, penyediaan kemudahan sukan untuk kegunaan latihan dan persiapan para atlet sebelum menyertai kejohanan dan juga untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti-aktiviti kesukanan tidak pernah diabaikan.

    Namun begitu, setakat ini Kerajaan Negeri belum bercadang untuk menyediakan peruntukan membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur sukan di dalam peruntukan tahunan Ahli Dewan Negeri. Buat masa ini, kaedah sedia ada yang digunakan masih lagi relevan untuk memenuhi keperluan setiap DUN. Justeru ini, peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut iaitu sebanyak RM40,000.00 kepada setiap DUN akan disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah untuk melaksanakan projek-projek menaiktaraf dan membaik pulih kemudahan sukan di peringkat DUN.

    Untuk makluman, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2,240,000.00 untuk Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan di peringkat DUN dan sebanyak RM1,000,000.00 untuk Kerja-kerja Menaiktaraf dan Membaikpulih Lampu Limpah Padang Sintetik Akademi Bola Sepak Merah Kuning yang menjadikan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM3,240,000.00.

    Seterusnya, untuk makluman jua, bermula pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan untuk meningkatkan peruntukan bagi Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan di peringkat DUN yang mana peruntukan asal adalah sebanyak RM1,120,000.00 telah dinaikkan kepada RM2,240,000.00 iaitu dengan pertambahan daripada RM20,000.00 kepada RM40,000.00 bagi setiap DUN di seluruh Negeri Selangor. Peningkatan jumlah peruntukan ini dapat membantu dalam memastikan fasiliti dan kemudahan sukan dapat dibaikpulih untuk kegunaan orang awam bagi menjalankan aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri juga dari masa ke semasa berusaha mengumpul data dan status semasa tahap kemudahan sukan di Selangor dalam usaha untuk memastikan kemudahan tersebut dapat dinaiktaraf sesuai dengan keperluan untuk tujuan aktiviti sukan kemasyarakatan. Walau bagaimanapun, projek-projek pembangunan infrastuktur sukan akan diutamakan kepada kemudahan-kemudahan sukan yang kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.

Lampiran

Tiada Lampiran.