Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

223) MEMPERTINGKATKAN PRESTASI UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL)

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah audit dalaman yang dilakukan bagi menjamin prestasi UNISEL?

    Semua program baru, sebelum ditawarkan kepada pelajar akan dinilai oleh

    Malaysia Quality Assuarance (MQA) terlebih dahulu untuk mendapatkan akreditasi provisional. MQA akan dipanggil menilai program yang sama apabila kumpulan pelajar pertama program tersebut berada di semester akhir sebelum tamat bergraduat bagi mendapatkan akreditasi penuh.

    1. UNISEL mempunyai sebuah pusat yang ditubuhkan khusus untuk mengawal dan menjamin kualiti program-program yang ditawarkan. Pusat ini dinamakan Pusat Akreditasi dan Jaminan Kualiti Akademik. Pusat ini kini diketuai oleh seorang Pengarah bertaraf Profesor yang mempunyai pengalaman dalam menjamin kualiti pendidikan lebih daripada 30 tahun di 2 buah institusi pendidikan tinggi.
    2. Pada masa ini Pusat ini telah banyak membantu memastikan program-program yang ditawarkan memenuhi kehendak MQA. Di samping itu pusat ini juga telah mengeluarkan 2 dokumen untuk panduan staf akademik dalam menjalankan tugas mereka. Dokumen tersebut adalah Petunjuk Penilaian Prestasi Staf Akademik dan Lecturers’ Guide. Pusat ini juga diminta bersama menggariskan terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan staf akademik serta syarat-syarat kenaikan pangkat staf akademik agar kualiti program yang ditawarkan dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan.
    3. Seperti universiti lain, UNISEL mempunyai Senat yang merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam hal-hal akademik yang bersidang setiap bulan yang sentiasa memberi arahan dan membuat keputusan serta meluluskan apa jua dasar/polisi untuk dilaksanakan oleh Fakulti dan staf akademik.
    4. Dari segi prestasi kewangan dan pengurusan, UNISEL sentiasa dipantau oleh Lembaga Pengarah. Kini UNISEL sedang dalam proses melantik Juruaudit Dalam yang bertanggungjawab terus kepada Lembaga Pengarah untuk mengaudit urusan kewangan dan pengurusan Universiti secara keseluruhan.