Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

158) MENAIK TARAF SISTEM PERPARITAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menaik taraf sistem perparitan di Selangor bagi menangani isu banjir?

    Inisiatif Kerajaan Negeri bagi menaiktaraf sistem perparitan untuk mengatasi banjir adalah seperti berikut:

    1. Perancangan – Semua pembangunan perlu menggunapakai Manual Saliran Mesra Alam. Salah satu kaedah pemakaian garis panduan MSMA adalah kawalan di punca (Control at Source) dengan pembinaan kolam takungan banjir, On Site Detention Pond (OSD) dan juga Check Dam. Selain itu, pihak jabatan bersama dengan agensi terlibat juga akan melaksanakan Ops Lumpur bagi memantau pematuhan di tapak.
    2. Pelaksanaan – Manakala dari segi pelaksanaan pula, pihak jabatan menjalankan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di mana hasil kajian akan digunakan untuk merancang kerja-kerja pembangunan dan penaiktarafan saliran sediaada di kawasan terlibat. Antara kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh jabatan adalah menaiktaraf saliran, tebatan banjir dan juga kolam takungan untuk meningkatkan kadar efisiensi sistem saliran.
    3. Di dalam RMK12 sebanyak RM624.47 juta permohonan peruntukan telah dipohon kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek-projek tebatan banjir (RM361.55 juta), menaiktaraf saliran (RM174.32 juta) dan juga pembinaan serta menaiktaraf kolam takungan banjir (RM106.6 juta). Selain itu, pembinaan rumah pam juga termasuk di dalam skop bagi ketiga-tiga projek di atas mengikut kesesuaian di tapak ( Akan dipasang di kawasan rendah untuk mengeluarkan air dari kolam takungan dan juga di pintu air). Permohonan ini dipohon berdasarkan kajian dan laporan hotspot banjir.
    4. Penyelenggaraan berkala dan penaiktarafan saliran di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu dilaksanakan mengikut keperluan.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang telah dilaksanakan adalah:

    • PISMA Bandar Klang
    • PISMA Bandar Kajang
    • PISMA Bandar Sungai Buloh
    • PISMA Sungai Besi dan Seri Kembangan
    • Kajian Sistem Saliran Bandar Banting

     

    Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang sedang dalam pelaksanaan adalah:

    • PISMA Semenyih
    • PISMA Selayang, Rawang, Kuang
    • PISMA Kg Perepat, Telok Panglima Garang
    • PISMA Kuala Langat

Lampiran

Tiada Lampiran.