Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

119) MENAIK TARAF TASIK SHAH ALAM

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program yang telah dijalankan untuk menaik taraf tasik Shah Alam ?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 17/2013 bertarikh 19 Jun 2013 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Negeri Selangor ke 18/2013 pada 26 Jun 2013 mengambil perhatian kepada titah DYMM Sultan Selangor supaya MBSA memberi tumpuan kepada tahap kebersihan tandas dan restoran di Taman Tasik Shah

     

    Berikutan hal di atas, MMKN mengambil keputusan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau dan merancang pelan pemulihan menyeluruh Taman Tasik Shah Alam untuk tempoh enam (6) bulan yang dianggotai oleh YB Dato’ Teng Chang Kim, YB Puan Hajah Rodziah bt Ismail, YB Puan Elizabeth Wong Keat Ping dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Y. Bhg. Datin Ong Beng Teng yang merupakan Penasihat Taman-Taman di Singapura.

     

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga bersetuju bahawa kos pemulihan Taman Tasik Shah Alam akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

     

    Selaras dengan perkara di atas, pihak MBSA telah mengadakan satu bengkel penyediaan pelan tindakan bagi penambahbaikan dan pembangunan semula infrastruktur kemudahan serta kualiti air tasik, Taman Tasik Shah Alam yang melibatkan penyertaan seramai 94 orang dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai agensi luar. Seramai 7 pakar dari pelbagai bidang dari Universiti Malaysia Terengganu ( UMT), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Persatuan Arborist Malaysia, Playground Safety Association of Malaysia.dengan membincangkan aspek pembersihan dan kualiti air tasik, menaiktaraf fasiliti &amenity dan ‘rebranding’ Taman Tasik Shah Alam sebagai satu tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

     

    Pihak MBSA juga telah melaksanakan beberapa program untuk menaiktaraf kemudahan di dalam Taman Tasik Shah Alam pada tahun 2013, dengan melaksanakan kerja-kerja pembinaan jambatan kayu di tepi pusat rekreasi air Wet World, Taman Tasik Barat, Shah Alam iaitu sepanjang 230 meter dari jenis kayu cengal dengan kos RM416,508.00.

     

    Bagi tahun 2014, MBSA telah melaksanakan projek pembinaan pagar dekoratif sepanjang 1.2 km dengan kos sebanyak RM481,940.00 yang berfungsi sebagai kawalan keselamatan serta meningkatkan imej Taman Tasik tersebut.

     

    Pihak MBSA juga telah mengeluarkan sebutharga penggantian semula tong sampah di Taman Tasik Shah Alam dan taman-taman awam yang lain yang dijangka siap pada Mac 2015.

     

    Pengawalan kualiti air Tasik Shah Alam masih diteruskan bagi memastikan tahap kualiti air tasik sentiasa terkawal dan berada pada Kelas IIB iaitu tahap selamat untuk rekreasi air iaitu dengan pemasangan 140 unit alat ‘diffuser’ bagi penyaluran oksigen melalui paip yang diletakan ke dalam air yang dipasang secara tetap dan pemasangan 3 unit ‘aerators’ pada semua tasik berkenaan.

     

    Pemantauan kualiti air tasik dibuat secara berkala, dua bulan sekali melalui pengambilan sampel air dan penganalisaan air tersebut adalah berdasarkan kepada parameter-parameter berikut :-

     

    1. Suhu
    2. Nilai pH
    3. Oksigen terlarut (DO)
    4. Total Suspended Solid (TSS)
    5. Chemical Oxygen Demand (COD)
    6. Ammonia Nitrogen
    7. Biochemical Oxygen Demand (BOD)
    8. Chlorophyll-a
    9. Escherichia Coli (E-coli)
    10. Turbidity

     

Lampiran

Tiada Lampiran.