Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

298) MENANGANI HAKISAN PANTAI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pantai Remis Sungai Sembilang merupakan pusat riadah yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan luar. Bagaimanapun keindahan tempat riadah ini hilang serinya akibat hakisan pantai yang teruk. Apakah usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di kawasan berkenaan?

    Pantai Remis mengunjur dari Parit Jeram hingga kuala Sungai Sembilang iaitu   1km dari Pekan Jeram dan 0.6km dari Pekan Sungai Sembilang. Berdasarkan Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan 1986, masalah hakisan Pantai Remis dikategorikan sebagai Kategori 1 yang bermaksud “garis pesisir yang berada dalam keadaan hakisan dan tempat kemudahan atau infrastruktur berasaskan pesisir pantai berada dalam bahaya keruntuhan atau kerosakan langsung”.

     

    Daripada panjang keseluruhan 3,800m yang terdedah kepada ancaman hakisan, 2,500m telah mengalami hakisan yang kritikal di mana selebar 140m pantai telah mengalami hakisan dengan kadar purata hakisan 4m setahun. Punca utama hakisan adalah fenomena semulajadi air pasang surut dan pukulan ombak yang kuat ketika air pasang besar. Ketiadaan pokok perlindungan seperti bakau sebagai penampan turut mendedahkan Pantai Remis kepada ancaman hakisan.

     

    Dari tahun 1984 hingga 1998, JPS Negeri Selangor ada mengambil langkah- langkah seperti membina benteng batu dan `groyne’ sebagai tindakan jangka pendek untuk mengawal hakisan tetapi tidak berkesan. Terkini, JPS telah membuat perancangan untuk memulihkan pantai ini dengan kaedah yang lebih berkesan dengan anggaran kos sebanyak RM 38.0 juta di mana permohonan peruntukan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Sekiranya diluluskan, pelaksanaan projek akan dimulakan pada awal 2015. Skop utama projek ialah pembinaan interlocking flex-slab dan rock revetment.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.