Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

223) MENANGANI KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat Selangor menghadapi isu kenaikan kos sara hidup?

    Ketidaktentuan ekonomi global kini dilihat menjadi antara penyebab utama kenaikan kos sara hidup. Menyedari kos sara hidup yang tinggi dan masih membebani hidup rakyat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Selangor bukan sahaja penyumbang utama kepada KDNK negara, malah sentiasa terkehadapan dan menjadi peneraju dalam kalangan negeri-negeri lain dalam menyediakan inisiatif-inisiatif yang berpaksikan rakyat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih di dalam kitaran kemiskinan. Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringkankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Program IPR yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor akan terus diperkukuh dan dipelbagaikan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

    Program-program IPR sedia ada seperti program HIJRAH, Bantuan Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor dan pelbagai lagi diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam mengimbangi pertumbuhan sosial dan ekonomi. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri ini telah memperlihatkan keberkesanan yang amat positif dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat di Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.