Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

152) MENANGANI KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat Selangor menghadapi isu kenaikan kos sara hidup untuk tahun 2020?

    Tahun 2020 merupakan satu tahun yang mencabar dari pelbagai aspek kehidupan terutamanya kesihatan dan ekonomi, yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Bagi mendepani kesan wabak ini dengan serius, Kerajaan Negeri telah melaksanakan tiga (3) Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

    Bagi Fasa Pertama iaitu Pakej Selangor Prihatin 1.0, bantuan kewangan diberikan secara terus kepada rakyat dan petugas-petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan, keselamatan dan media pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi Fasa Kedua pula iaitu Pakej Selangor Prihatin 2.0, usaha tambahan bagi menangani isu-isu sosial ataupun social impact serta usaha ekonomi seperti Selangor Agro Market, Selangor E-Kitchen dan Selangor Advance bagi mengadaptasi kepada norma baharu kehidupan rakyat Negeri Selangor. Bagi Fasa Ketiga iaitu Selangor Prihatin Tambahan, Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani impak COVID-19 iaitu Jaminan Bekalan Makanan (food security), Kemampanan Ekonomi (economic sustainability) dan Pembangunan Keupayaan (capacity building).

    Semasa pelaksanaan PKP, Kerajaan Negeri Selangor telah membantu hampir 8,000 pengusaha di sektor pertanian dengan suntikan dana berjumlah RM3 juta untuk memasarkan produk mereka melalui Program Selangor Agro Market – Pasar Segar Terkawal (SAM-PST). Sejumlah 275 golongan petani telah dibantu untuk pembelian dan memasarkan semula keluaran mereka di 13 lokasi dengan kaedah jualan secara terus, secara dalam talian dan pra-tempahan. Sejumlah RM15 juta nilai jualan telah dicatat di sepanjang program SAM-PST berlangsung. Selain itu, Kerajaan Negeri juga meningkatkan jumlah insentif-insentif kepada agropreneur seperti insentif input-input pertanian, baka-baka ternakan serta peralatan khususnya golongan nelayan.

    Inisiatif Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) bertujuan untuk menyediakan platform pasar dalam talian terutama sekali kepada usahawan luar bandar dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, penternakan, perikanan dan industri desa untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna. Inisiatif SELDEC yang diterajui oleh Selangor Industrial Corporation (SIC) ini akan menggabungkan agensi-agensi pembangunan usahawan seperti Koperasi HIJRAH untuk mengurangkan jurang akses terutama sekali kepada usahawan luar bandar terhadap ekosistem pasaran atas talian. Pembangunan SELDEC juga dilihat sebagai inisiatif bagi memastikan hasil-hasil pertanian dan produk di negeri Selangor mencapai potensi pasaran yang bukan sahaja terhad di kawasan daerah masing-masing, namun dapat dinikmati oleh pengguna yang berada di daerah yang berlainan. Strategi ini menyaksikan hasil tanaman setiap daerah di negeri Selangor dapat ditempah dan terlibat dalam sistem jual beli malah juga melalui sistem penghantaran yang efektif. Ini dilihat dapat mengukuhkan ekonomi penduduk atau usahawan setempat yang mempunyai kuasa langsung dalam menguruskan hasil produk mereka terutama sekali penduduk luar bandar serta menembusi perangkap kartel-kartel yang selama ini menyebabkan petani-petani tidak mendapat hasil yang setara dengan keuntungan di pasaran.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah memperkenalkan Inisiatif Selangor E-Kitchen yang diasaskan dengan kerjasama Grab dan penubuhan Platform Selangor (PLATS). Inisiatif ini adalah ‘game-changer’ dan merupakan inisiatif digitalisasi perniagaan agar ekonomi negeri dapat memberi penciptaan nilai baharu kepada masyarakat. Inisiatif ini membantu penjaja/ peniaga kecil untuk terus beroperasi secara dalam talian bagi memperluaskan akses pasaran. Inisiatif ini mensasarkan kepada penjaja/ peniaga kecil (PKS Mikro) di dalam industri makanan dan minuman (F&B) di sekitar Selangor yang tidak mempunyai akses perniagaan secara dalam talian. Selangor E-Kitchen telah berjaya membantu 133 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM 1.5 juta. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan inisiatif Selangor E-Kitchen dan PLATS dengan matlamat 1,000 usahawan dan sasaran nilai jualan berjumlah RM12 juta. Inisiatif E-Kitchen Selangor 2.0 juga akan diperluas ke perkhidmatan barangan runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan Selangor.

    Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah, lantas Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperkenalkan “Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY)”. Secara amnya peserta di bawah program “Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY)” ini akan melalui dua (2) Fasa iaitu tempoh penyewaan di bawah Skim Smart Sewa (minimum 2 tahun sehingga maksimum 5 tahun) dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’. Selepas tamatnya tempoh penyewaan 5 tahun, penyewa akan diberikan pilihan sama ada untuk membeli/ memiliki rumah tersebut atau sebaliknya. Sekiranya penyewa memilih untuk tidak membeli, penyewa tersebut perlu berpindah keluar dengan mendapat balik 30 peratus jumlah bayaran sewa yang terkumpul sepanjang tempoh sewaan di bawah Skim Smart Sewa tersebut.

    Selangor merupakan sebuah negeri yang peka dan prihatin dengan trend dan ekonomi gig. Bagi menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam bidang ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) dengan dana awalan berjumlah RM1 juta. Menyedari penglibatan generasi muda yang tinggi, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan RM1 juta lagi bagi Inisiatif RIDE, menjadikan RM2 juta secara keseluruhan yang melibatkan kos dari segi subsidi Lesen Memandu Percuma B2 yang boleh membantu hampir 3,000 orang anak muda dari umur 17 hingga 30 tahun di Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor memberi komitmen penuh demi memulihkan ekonomi, memulihkan kesenjangan pendapatan antara yang kaya dan miskin, serta memulihkan kesejahteraan rakyat Selangor. Pada waktu yang sama, Kerajaan Negeri Selangor prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh setiap warga Selangor, terutamanya golongan yang amat terjejas dan benar-benar memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.