Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

154) MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN BERLEBIHAN TERHADAP HASIL BERKAITAN TANAH DAN MEMPELBAGAIKAN SUMBER PERTUMBUHAN EKONOMI

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perincian pelan tindakan jangka sederhana dan panjang untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap hasil berkaitan tanah, diunjurkan menyumbang 81.7% kepada pendapatan negeri pada 2017 serta melebarkan asas ekonomi dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan baharu dalam mendepani Revolusi Industri Keempat.

    Sumber hasil Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan. Di antara elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah:

    • Hasil tanah;
    • Hasil lombong;
    • Hasil hutan;
    • Duti hiburan;
    • Terimaan mengenai bekalan dan perkhidmatan air;
    • Sewa dan jualan harta Negeri;
    • Bayaran fi, denda dan pelucuthakkan mahkamah selain daripada mahkamah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan;
    • Faedah atas baki wang negeri;
    • Bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri; dan
    • Harta karun.

    Hasil tanah dan hasil urusniaga berkaitan tanah menyumbang sebanyak 81.75% kepada hasil Negeri. Hasil Tanah adalah Hasil Yang Diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dan menjadi penyumbang utama kepada Kerajaan Negeri kerana kuasa-kuasa yang dikurniakan oleh Kanun Tanah Negara kepada Pihak Berkuasa Negeri meliputi :

    • Memberimilik Tanah Kerajaan;
    • Merizabkan Tanah Kerajaan dan memberi pajak tanah rizab sehingga 99 tahun;
    • Mengeluarkan lesen Pendudukan Sementara atas Tanah Kerajaan, tanah rizab dan tanah lombong;
    • Mengeluarkan Permit Bahan Batuan; dan
    • Mengeluarkan permit penggunaan ruang udara atas Tanah Kerajaan atau tanah rizab.

    Usaha dan pelan jangka sederhana untuk memaksimumkan hasil tanah tetap diteruskan bagi memastikan pendapatan tradisi Kerajaan Negeri terpelihara seperti berikut:

    • Melaksanakan pemantauan ke atas tunggakan cukai tanah melalui mesyuarat-mesyuarat teknikal bersama Pejabat Tanah Galian Selangor (PTG Selangor), Pejabat Daerah / Tanah (PDT), Bahagian Teknologi Maklumat SUK (BTM SUK), Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS);
    • Bengkel dan Makmal oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bersama PTG Selangor, PDT dan BTM SUK bagi menyelesaikan tunggakan cukai tanah hakmilik bermasalah;
    • PTG Selangor mewujudkan Focus Group penyelesaian hakmilik bermasalah bertunggakan;
    • Operasi Mengutip Cukai Tanah Tertunggak ke atas penunggak tegar;
    • Menyediakan Kaunter Kutipan Hasil Cukai Tanah Bergerak;
    • Program One Stop Center (OSC) Bersama Anak Syarikat / Agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memudahkan urusan pindah milik; dan
    • Iklan Meningkatkan Kesedaran Bayaran Cukai Tanah di surat khabar dan televisyen.
    • Melaksanakan Pindaan Cukai Tanah (PCT) 2017 selaras dengan Seksyen 101(5) (b) Kanun Tanah Negara (KTN) bagi semakan semula kadar cukai tanah setiap 10 tahun sekali.
    • Mengenakan cukai petak bagi pembangunan berstrata selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaan 2016) (A1518) bagi semua daerah di Negeri Selangor yang akan berkuat kuasa pada tahun 2018.

    Bagi usaha jangka panjang melibatkan hasil premium tanah, Perbendaharaan Negeri Selangor telah mengadakan perbincangan awal dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah agar meningkatkan usaha menukar syarat nyata tanah bagi tujuan pembangunan tanah dan komersial termasuklah pembangunan komprehensif melibatkan Transit-Oriented-Development (TOD), membuka kawasan baru atau New Township dan Tender Tanah.

     

    Bagi usaha tindakan jangka sederhana selain hasil tanah daripada hasil bukan cukai adalah seperti berikut :

     

    • Perbendaharaan Negeri Selangor telah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien, di samping memberi pulangan faedah yang optimum;
    • Berdasarkan kepada keputusan Majlis Perhutanan Negara, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dibenarkan untuk membuat kutipan royalti bagi kayu palma, pokok kelapa, dan kayu getah berkuatkuasa pada tahun 1 Januari 2017;
    • Menguatkuasakan duti hiburan ke atas taman-taman tema di Selangor selepas pengecualian berkenaan dimansuhkan oleh Kementerian Kewangan bermula pada Februari 2014;
    • Meningkatkan penguatkuasaan ke atas bahan batuan pasir oleh PTG Selangor dan Pejabat Daerah Tanah. Sistem e-Doket Bahan Batuan akan diperkenalkan pada pertengahan tahun 2017. Sistem ini berfungsi memantau pengeluaran pasir secara sistem berkomputer menggantikan sistem manual untuk mengelakkan ketirisan hasil pasir di Negeri Selangor;
    • Menaikkan kadar Sewa Menara Telekomunikasi di atas tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang dikutip oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2017.
    • Bagi usaha tindakan jangka panjang selain hasil tanah daripada hasil bukan cukai adalah seperti berikut:
    • Perbendaharaan Negeri Selangor menganggotai Jawatankuasa Hasil Negeri di peringkat Kementerian Kewangan Malaysia yang sentiasa bersidang dari semasa ke semasa mengkaji dan memperhalusi elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan;
    • Berdasarkan kepada keputusan Majlis Kewangan Negara (MKewN), MkewN memutuskan supaya Bayaran Caj Permit Penggunaan Tanah Bagi Lebuh Raya Yang Melalui Kawasan Hutan Simpan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian dan tertakluk kepada kontrak atau perjanjian yang telah ditandatangani antara pihak-pihak yang berkenaan. Walau bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengekalkan cadangan penggantian kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan gantirugi/pampasan pokok yang terlibat di dalam pembinaan lebuh raya yang melalui Hutan Simpanan Kekal. Pengekalan keputusan ini selaras dengan Dasar Kerajaan Negeri Selangor bagi mengekalkan keluasan HSK tidak kurang daripada 30.0 % berbanding keluasan tanah di Negeri Selangor. JPNS berpandangan bahawa penggantian semula kawasan HSK dan gantirugi/pampasan pokok adalah perlu bagi mengelakkan sebarang isu perundangan di masa hadapan dan salah satu kaedah mengatasi ketirisan hasil ke atas guna tanah yang melibatkan penggunaan Hutan Simpanan Kekal; dan
    • Berdasarkan keputusan Majlis Kewangan Negara (MKewN), pengenaan caj khusus bagi penginapan di hotel-hotel seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang boleh dilaksanakan di negeri seluruh Malaysia. Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor pada 13 Januari 2017 dan dalam peringkat perbincangan awal.

Lampiran

Tiada Lampiran.