Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

89) MENINGKATKAN KEWANGAN NEGERI

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah kewangan negeri?

    Strategi Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkat jumlah kewangan negeri adalah dengan sentiasa melaksanakan usaha-usaha berterusan bagi memastikan pertumbuhan hasil Kerajaan Negeri Selangor, di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah terbaik. Adalah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri untuk menguruskan kewangan dengan cekap dan teratur di samping mematuhi segala peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

    Antara perkara-perkara yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah kewangan Negeri adalah:-

    • pengiraan premium tanah berdasarkan nilai pasaran semasa;
    • kenaikan Kadar Royalti Kuari berkuat kuasa 1 November 2014;
    • kenaikan kadar baru Caruman Parit berkuat kuasa 1 Julai 2015;
    • pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien, di samping memberi pulangan faedah yang optimum;
    • pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Daerah/Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Bahagian Teknologi Maklumat, SUK (BTM, SUK) sebagai satu pasukan (Ops. Kutip) seperti berikut:-

     

    1. menjejaki pemilik tanah yang berkenaan, menasihati dan memberi amaran melalui surat peringatan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan tunggakan cukai tanah;
    2. menerima bayaran cukai tanah secara ansuran;
    3. memberikan pengurangan fi tunggakan (denda lewat); dan
    4. tindakan perampasan jika pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah tertunggak.

     

    1. Kerajaan Negeri terutamanya melalui PDT sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui kaedah berikut:-
    2. mengenal pasti serta mengasingkan semua hak milik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
    3. membuka kaunter kutipan luar dengan menambah saluran kutipan cukai tanah melalui van kaunter hasil bergerak;
    4. membuka kaunter pada waktu rehat; dan
    5. menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara atas talian (online) dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
    • Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Hasil dan Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang berfungsi untuk memantau pelaksanaan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hak milik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua PDT;
    • Kerajaan Negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di empat (4) PDT iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah. Kerajaan Negeri mengambil maklum masalah bangunan strata yang sukar diselesaikan untuk pengeluaran hak milik strata turut menyumbang kepada tunggakan hasil cukai tanah;
    • Perbendaharaan Negeri Selangor telah memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna;
    • pelaksanaan dasar pemilikan tanah Kerajaan untuk tujuan bangunan kediaman persendirian di mana bayaran premium nominal pada kadar RM1,000.00 bagi setiap hak milik dan bayaran khas tanah pada kadar yang ditetapkan apabila tanah tersebut hendak dipindah milik melalui proses jual beli. Hak milik bagi tanah ini akan dikenakan sekatan kepentingan tambahan. Rayuan pengurangan premium tidak dibenarkan;
    • pelaksanaan dasar penolakan semua permohonan rayuan pengurangan premium / premium tambahan (sama ada melalui Borang 5A atau 7G) kecuali kes pemberimilikan tanah kepada individu bagi tujuan bangunan kediaman yang telah diduduki;
    • Pejabat Pemungut Hasil Negeri Selangor juga, dari masa ke masa, akan membuat penilaian ke atas kadar dan pengurusan hasil sedia ada. Sebagai contoh, PTGS kini sedang mengkaji untuk menambahbaik sistem pengurusan pengeluaran bahan batuan bagi mengelakkan ketirisan hasil; dan
    • Perbendaharaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Mengkaji Hasil Negeri yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri bersama-sama Pejabat Pemungut Hasil Negeri dari masa ke masa mengkaji dan memperhalusi elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.