Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

25) MENINGKATKAN PURATA PENDAPATAN ANAK MUDA

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Ð usaha Kerajaan Selangor untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda termasuk meningkatkan purata pendapatan mereka?

    (Soalan a dan b dijawab bersekali)

     

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil maklum untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda termasuk meningkatkan purata pendapatan golongan anak muda di Selangor berikutan taraf hidup yang semakin meningkat dan pembangunan belia perlu dititikberatkan terutamanya dari segi pekerjaan dan pendapatan untuk memastikan pembangunan Negeri yang mampan.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa menitik beratkan aspek pembangunan belia di Negeri Selangor dengan memfokuskan dan memberi keutamaan kepada dua aspek penting iaitu pekerjaan dan pendapatan. Selain daripada memastikan belia mendapat pekerjaan, usaha perlu juga diberikan kepada penglibatan belia dalam bidang keusahawanan. Dalam banyak ketikanya, belia lebih menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan pekerjaan sebagai sumber mata pencarian untuk menampung keperluan hidup. Mungkin juga disebabkan kurang pendedahan, kesedaran dan pengetahuan, belia tidak menganggap keusahawanan sebagai alternatif sumber pendapatan yang jauh lebih baik daripada pekerjaan. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Dana Usahawan Mikro bagi membuka peluang kepada usahawan mikro di Negeri Selangor untuk mempelbagaikan dan mengkomersialkan produk di samping untuk mengukuhkan perniagaan dan perusahaan mikro di Negeri Selangor melalui peningkatan produktiviti (pengeluaran jualan dan pendapatan). Program ini telah memberi ruang kepada 55 orang usahawan belia di Selangor.

    Selain itu, generasi muda di Selangor juga berpeluang untuk menyertai program- program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri antaranya program Hijrah Selangor yang berteraskan konsep Pinjaman Asas Simpanan yang mana pinjaman yang diberikan digunakan sebagai modal tambahan dalam urusan perniagaan. Hijrah Selangor telah mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, penerima blue print, asnaf, belia, orang kelainan upaya dan khariah masjid. Melalui program ini, seramai 19,729 orang usahawan belia telah ditawarkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM133,638,500.00.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor juga melaksanakan program mentor usahawan (mentoring system) iaitu Zero to Hero di mana melalui program ini usahawan dilatih dan dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) dalam jangkamasa 6 bulan untuk memastikan kejayaan mereka.

    Di samping itu, bagi generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang digital dan teknologi, mereka boleh menyertai program yang dijalankan oleh SITEC di bawah kelolaan Invest Selangor. SITEC juga telah melancarkan Selangor Digital Creative Centre, sebuah pusat inkubator yang menawarkan kolaborasi dan persekitaran inovatif untuk generasi muda melahirkan start-up dan produk teknologi yang kreatif.

Lampiran

Tiada Lampiran.