Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

81) MERAPATKAN KESENJANGAN DIGITAL ANTARA BANDAR DAN BUKAN BANDAR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kesenjangan digital antara penduduk di luar bandar dan bandar dan apakah program WiFi Smart Selangor yang dilaksanakan telah berjaya menangani masalah ini?

    Sambungan internet (internet connectivity) merupakan faktor  kejayaan  utama  dalam usaha untuk mengurangkan kesenjangan digital antara penduduk di luar bandar dan bandar. Namun di antara cabaran utama dalam usaha untuk membekalkan perkhidmatan WiFi Smart Selangor (WiFiSS) percuma kepada masyarakat luar bandar adalah pemasangan hotspot WiFi terhad kepada ketersediaan infrastruktur jaringan teras pihak pembekal ke kawasan sasaran.

    Walaubagaimanapun, dengan strategi untuk menyediakan kemudahan WiFiSS percuma kepada perpustakaan-perpustakaan negeri, institusi pengajian tinggi, termasuk sekolah teknikal dan vokasional, pusat tuisyen, balai, dewan orang ramai dan sebagainya secara langsung dan tidak langsung telah berjaya untuk menjadikan WiFiSS sebagai enabler untuk mengurangkan kesenjangan digital antara penduduk di luar bandar dan bandar.

    Di samping itu juga, sebuah program pembangunan jangkauan komuniti telah dibangunkan bersama oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor untuk menyediakan Smart Selangor i-Station di setiap perpustakaan daerah di Negeri Selangor. Smart Selangor i-Station menyediakan kemudahan pembelajaran secara interaktif di luar bilik darjah untuk mengasah kemahiran literasi, numerasi, berfikir aras tinggi mengguna iOS koding, berkreatif dan memahami pembangunan awal kanak- kanak.

    SmartSel Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor juga telah ditubuhkan pada penghujung tahun 2017 untuk menerokai penyelesaian digital alternatif bagi tujuan untuk merapatkan kesenjangan digital antara penduduk di luar bandar dan bandar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.