Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

117) Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD)

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat JKTD dalam masa yang terdekat ini?

    Selaras dengan keputusan Arahan No.1 2020 (Mekanisme Penyelarasan Pembangunan Negara) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia pada 1hb Januari 2020, Kerajaan Negeri Selangor telah disarankan untuk melaksanakan arahan ini melalui mekanisme penyelarasan iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JPTD) bagi menggantikan Mesyuarat Jawaatankuasa Tindakan Daerah (JKTD).

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang disarankan Perdana Menteri tersebut adalah wadah untuk agensi kerajaan di daerah dan langkah-langkah yang dibincang dalam mesyuarat JTPD ini termasuk mewujudkan pembangunan seimbang di bandar dan kampung supaya pembangunan dapat dirancang secara teratur di samping mengatasi masalah pertindihan fungsi serta peranan jabatan kerajaan. Perkara yang turut dibincang termasuk isu prasarana seperti kemudahan jalan raya, elektrik, air, pendidikan dan kesihatan. Mesyuarat Jawatankuasa ini yang melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan juga sangat penting supaya tidak lagi berlaku pertindihan fungsi dan peranan, bahkan mengelakkan pertindihan peruntukan yang boleh menyebabkan pembaziran.

    Strategi utama Arahan No. 1 2020 Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara (Arahan) adalah seperti berikut:

      1. Memperkukuh mekanisme pemantauan pengesanan jurang pencapaian program pembangunan bagi memastikan penyertaan yang seimbang di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan dan wilayah serta menyokong usaha ke arah pertumbuhan ekonomi bagi mencapai potensi sebenar;
      2. Memperkukuh instrumen komunikasi mencakupi pelbagai peringkat dan memastikan penglibatan bersama Anggota Pentadbiran ke arah penyampaian matlamat pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat;
      3. Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan program/projek pembangunan menerusi pemantapan keseluruhan kitaran program/projek mencakupi perancangan, pemantauan dan penilaian bagi menyokong pembangunan negara; dan
      4. Memperhebat penyelarasan di lapangan bagi meminimumkan risiko kegagalan program/projek pembangunan serta pelaksanaan intervensi yang berkesan.

       

      Untuk makluman Yang Berhormat, Pegawai Daerah di setiap Daerah di Selangor telah dilantik sebagai Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JPTD) melalui watikah perlantikan yang ditandatangani oleh YB Dato’ Menteri Besar Selangor dan telah berkuatkuasa pada 5hb Februari 2020 sebagai mematuhi Arahan No. 1 2020. Watikah perlantikan dan Surat Perlantikan kepada semua Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah telah disempurnakan penyampaian oleh Pengarah Pembangunan Negeri Selangor merangkap Setiausaha Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Pejabat Pembangunan Negeri Selangor melalui surat bertarikh 20hb Februari 2020 [No. rujukan UPP:PPN.B®/177/535/13 JLD.7(17)].

      Untuk keahlian mesyuarat pula, Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Darul Ehsan Bilangan 1 Tahun 2020 yang telah diadakan pada 29hb Jun 2020, telah memutuskan bahawa Pegawai Daerah adalah dilantik untuk menggalas peranan penting di peringkat daerah dan mempunyai pandangan yang sangat luas serta lebih arif tentang situasi tempatan. Oleh yang demikian, YB Dato’ Pengerusi MTPNg Selangor Darul Ehsan telah bersetuju bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) adalah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Barisan ahli jawatankuasa di peringkat daerah adalah seperti berikut:

      1. Pegawai Daerah (Pengerusi);
      2. Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya;
      3. Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran;
      4. Pegawai Pertanian Daerah;
      5. Pegawai Kesihatan Daerah;
      6. Pegawai Majlis Amanah Rakyat Daerah;
      7. Pegawai Pendidikan Daerah;
      8. Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan;
      9. Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah;
      10. Pegawai Tadbir Agama Daerah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah;
      11. Pengurus Besar atau Wakil Agensi Pembangunan Tanah/Wilayah (bagi daerah yang berkenaan sahaja) dan;
      12. Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan serta mana-mana badan yang dijemput berasaskan isu yang dibincangkan. Ahli Jawatankuasa hendaklah dilantik secara rasmi oleh Pengerusi.

       

      Di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) itu juga, YB Dato’ Pengerusi MTPNg Selangor Darul Ehsan turut bersetuju agar struktur dan peranan mesyuarat yang ditetapkan seperti Arahan No. 1 2020, dilaksanakan tanpa penglibatan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri (ADN) sehingga di peringkat daerah.

      Untuk makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Gombak (JTPD) Bilangan 1 Tahun 2020 telah diadakan pada 9hb Julai 2020. Perlaksanaan mesyuarat seterusnya akan diadakan pada bulan November 2020.

      Adalah dengan wujudnya jawatankuasa ini diharapkan agar mekanisme penyelarasan ini membantu untuk mencapai matlamat menyokong dan merealisasikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang membawa maksud pertumbuhan yang lebih saksama, memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

Lampiran

Tiada Lampiran.