Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

7) MISKIN BANDAR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kajian oleh UNICEF baru-baru ini telah mendapati kanak-kanak di kawasan bandar yang berpendapatan rendah mengalami tumbesaran yang terbantut. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor terhadap laporan ini?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar oleh UNICEF diadakan di 16 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan 1 PPR di Negeri Selangor. Hasil kajian mendedahkan penemuan berkaitan kemiskinan kanak-kanak dalam pelbagai dimensi terutama mengenai kekurangan zat

    Merujuk kepada penemuan berkenaan, Kerajaan Negeri sebenarnya telah melaksanakan program-program berikut bagi menangani masalah kanak-kanak dan keluarga miskin di negeri Selangor.

    ·         Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

    Bermula tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi membantu golongan ibu mendapatkan barangan keperluan asas keluarga tanpa tunai melalui pembelian di pasaraya yang telah dikenalpasti dengan nilai RM200.00 sebulan bagi setiap orang. Melalui pelaksanaan program ini, para ibu boleh membuat pembelian ke atas barangan yang berkhasiat dan mempunyai nutrisi yang baik bagi membantu tumbesaran kanak-kanak seterusnya dapat membantu perkembangan minda dalam membentuk generasi yang akan datang. Senarai barangan yang boleh dibeli di dalam program ini seperti beras, mi atau bihun, roti, biskut, telur, gula, garam, rempah ratus, sos, kicap, tepung, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam, lembu, kambing, ikan, sabun, kelengkapan mandian, bahan pencuci, lampin pakai buang, produk tenusu dan barangan persekolahan.

    • Program Smart Selangor Food Stamp

    Bermula Jun 2016 hingga Disember 2017, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Smart Selangor Food Stamp yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu meringankan dan mengurangkan beban kos sara hidup yang kian meningkat dari kalangan golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dengan nilai RM50.00 sebulan kepada 100 buah keluarga termiskin dari setiap DUN selama 1 tahun. Selain itu, melalui pemberian bantuan makanan asas ini keluarga berkenaan akan dibekalkan dengan makanan yang sihat seperti beras, minyak masak, gula, tepung, bihun dan susu pekat sekaligus dapat menerima nutrisi yang lengkap untuk proses tumbesaran kanak-kanak yang kian membesar.

    ·         Skim Peduli Sihat

    Skim PEDULI SIHAT memberi manfaat kepada peserta berkaitan pembiayaan rawatan kesihatan asas menurut kategori Keluarga (Had Pembiayaan RM500.00 setahun, RM50 bagi setiap kali rawatan) dan Individu (Had Pembiayaan RM500.00 setahun, RM50 bagi setiap kali rawatan) di panel klinik yang berdaftar.

    ·         Bantuan Kewangan

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMN Selangor) menyediakan Skim Bantuan Am bagi membantu keluarga miskin yang berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,500 atau pendapatan perkapita tidak melebihi RM350 sebulan. Kadar Bantuan Am adalah RM250, RM300 dan RM350 sebulan. Bantuan Am ini adalah bertujuan membantu menampung perbelanjaan harian keluarga miskin. Sehingga Februari 2018, penerima Bantuan Am adalah 4,437 kes yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2,940,550.00.

    ·         Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK)

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah menubuhkan PAKK di Negeri Selangor. PAKK berfungsi sebagai pusat aktiviti, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis dan pusat sosial dan rekreasi untuk kanak-kanak.

    Sebanyak 17 buah PAKK di seluruh Negeri Selangor telah diwujudkan di mana 2 buah PAKK masing-masing berada di PPR Taman Putra Damai dan PPR HICOM.

     

    BIL. DAERAH NAMA   PUSAT    AKTIVITI    KANAK-KANAK (PAKK)
     

    1

     

    Petaling

    1. PAKK Taman Medan
    2. PAKK Taman Putra Damai
    3. PAKK Shah Alam
    4. PAKK Subang Jaya
    2 Klang 1. PAKK Taman Seri Andalas
    3 Sabak Bernam 1. PAKK Taman Gemilang
    2. PAKK Taman Perpaduan
     

    4

     

    Gombak

    1. PAKK Kg. Bendahara
    2. PAKK Bandar Tasik Puteri
    3. PAKK Hulu Klang
    5 Hulu Selangor 1. PAKK Wawasan Gemilang
    6 Kuala Langat 1. PAKK Banting
    2. PAKK Kg. Kundang
    7 Sepang 1. PAKK Salak Tinggi
    2. PAKK Taman Putra Perdana
    8 Kuala Selangor 1. PAKK Kuala Selangor
    9 Hulu Langat 1. PAKK Kajang

     

    ·         Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Daerah

    PKKK ditubuhkan di setiap daerah bagi berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan pemulihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah atau masalah sosial. Ahli PKKK dilantik daripada golongan masyarakat setempat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang kanak-kanak. Selain itu, PKKK turut dianggotai oleh Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Perubatan. Mereka akan membantu Jabatan dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pencegahan jenayah dan kerosakan akhlak dalam kalangan kanak-kanak.

     

    • Program Selangor Teen Volunteers

    Kewujudan sukarelawan kanak-kanak Negeri Selangor atau dikenali sebagai Selangor Teen Volunteers adalah inisiatif bersama antara Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor dan JKMN Selangor. Objektif program adalah:

    • meningkatkan kesedaran kanak-kanak berkaitan amalan dan nilai murni bagi membentuk peribadi seimbang;
    • memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyertai, menyumbang idea dan bagi bagi peningkatan potensi diri;
    • menanam sifat tanggungjawab, prihatin dan rasa ingin menolong terhadap masyarakat tanpa mengharapkan balasan;
    • memberi galakan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika bagi merangka program demi kepentingan kanak-kanak.

    Kanak-kanak yang terlibat dalam program Selangor Teen Volunteers akan lebih terdedah kepada perkhidmatan JKM dan perkara-perkara berkaitan kanak-kanak seperti hak dan isu perlindungan kanak-kanak. Kanak-kanak ini kemudiannya akan menjadi pihak yang akan menyebarluaskan isu hak dan perlindungan kanak-kanak melalui hubungan antara mereka dan rakan-rakan yang lain.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.