Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

151) MISKIN BANDAR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peranan Kerajaan Negeri dalam membantu penduduk miskin bandar di Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan komited dalam mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam pelbagai dimensi. Pelbagai usaha terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan “Distributive Justice” kepada rakyat. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor serta tidak menfokuskan golongan miskin bandar sahaja.

    Inisiatif dan usaha keras Kerajaan Negeri ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) dan Jabatan/ Agensi untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari pelbagai dimensi. Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah seperti berikut:-

    1. Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel dan Skim Selangor Smart Home Buyers. Skim Smart-Sewa pula diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana untuk menyewa dan akhirnya beupaya memiliki rumah di Negeri Selangor. Selain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.

    1. Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi

    Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/ Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan serta pelbagai lagi Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    • Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan

    Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain Rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

    1. Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan

    Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Antarabangsa INPENS, Selangor Business School dan Program Boot Camp Akademik. Manakala program-program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.

    Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam pelbagai aspek dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender dan etnik di samping memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

Lampiran

Tiada Lampiran.